Ciri-Ciri Ayat Makiyyah Yang Boleh Dikenali

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Al-Quran ialah sebuah kitab yang telah diturunkan oleh Allah secara mutawatir, iaitu berperingkat yang memakan masa selama 23 tahun. 13 tahun darinya adalah ketika Baginda SAW menyebarkan dakwah di Mekah, manakala baki 10 tahun lagi selepas Baginda berhijrah ke Madinah.

Dengan itu, surah di dalam Al-Quran terbahagi kepada dua, iaitu Makiyyah dan Madaniyyah. Makiyyah merujuk kepada surah atau ayat yang diturunkan di Mekah, manakala Madaniyyah pula merujuk kepada ayat yang diturunkan di Madinah.

Untuk membezakan kedua-dua ini, para ulama hadir dengan tiga jenis teori yang mempunyai dasarnya yang sendiri, iaitu dilihat pada waktu, tempat serta sasarannya. Jadi, untuk kali ini akan memperlihatkan ciri-ciri ayat makiyyah bagi membolehkan kita mengenalinya.

1. Topik asas surah Makiyyah adalah berkait dengan akidah

Maksdunya: “Katakanlah: “Tulang-tulang yang hancur itu akan dihidupkan oleh tuhan yang telah menciptanya pada awal mula wujudnya; dan Ia Maha Mengetahui akan segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakanNya). Tuhan yang telah menjadikan api (boleh didapati) dari pohon-pohon yang hijau basah untuk kegunaan kamu, maka kamu pun selalu menyalakan api dari pohon-pohon itu.” (Surah Yasin, 36:79-80)

2. Ayat dan surahnya pendek serta ringkas.

Mafhum: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara Sekalian Manusia. Yang Menguasai sekalian manusia. Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia. Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam. Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia. (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia.” (Surah An-Nas, 114:1-6)

3. Kandungannya adalah mengenai seruan terhadap keimanan kepada Allah, masalah wahyu, alam ghaib, hari akhirat serta gambaran mengenai syurga dan neraka.

Mafhum: “Katakanlah (wahai Muhamamd): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Ia tidak beranak dan Ia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapa pun yang serupa dengannya.” (Surah Al-Ikhlas, 112:1-4)

4. Menceritakan mengenai kisah-kisah penentangan kaum musyrikin

Maksudnya: “Dan apabila engkau melihat orang-orang yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain; dan jika engkau dilupakan oleh syaitan (lalu engkau duduk bersama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama kaum yang zalim itu, sesudah engkau mengingati (akan larangan itu).” (Surah Al-An’am, 6:68)

5. Surahnya banyak dimulakan dengan kalimat “wahai manusia” dan tidak menggunakan perkataan “wahai orang yang beriman” kerana surah-surah ini adalah permulaan ketika menyampaikan dakwah kepada manusia.

Mafhum: ” Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari tuhan kamu dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.” (Surah Yunus, 10:57)

Kesimpulannya, mengapa kita perlu mengetahui akan ciri-ciri ini adalah untuk memudahkan kita menghayati sebab di sebalik turunnya ayat ini dan untuk mendekatkan kita dengan Al-Quran lebih baik lagi.

Sumber: TZKRH.COM