Tiada Projek Sakit Atau Lambat Pelaksanaan Di Negeri Ini – KDYMM Pemangku Raja Pahang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Kerajaan Pahang dititah menyegerakan pelaksanaan semua projek yang telah diberi kelulusan dengan tiada projek sakit atau pun lambat.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah supaya semua pihak dapat mempercepatkan pelaksanaan projek yang telah diluluskan.

“Saya bertitah agar semua jabatan dan agensi dapat mempercepat pelaksanaan projek-projek yang diluluskan ini dengan mematuhi peraturan dan tatacara sedia ada.

“Saya tidak mahu melihat projek sakit atau lambat pelaksanaannya di Negeri Pahang.

“Setiap peruntukan yang diterima perlu dibelanjakan dengan cepat dan betul supaya rakyat menerima manfaat yang sebaiknya,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Baginda turut bertitah supaya Kerajaan Pahang bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan projek mendesak di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) serta belanjawan 2022 yang berimpak tinggi kepada negeri ini termasuklah pelaksanaan projek berkaitan banjir.

“Menyentuh pelaksanaan projek-projek persekutuan di Negeri Pahang, suka saya bertitah, Kerajaan saya dan Kerajaan Persekutuan perlu bekerjasama rapat bagi melaksanakan projek-projek yang mendesak di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 dan juga Belanjawan Tahun 2022 serta berimpak tinggi di Negeri Pahang.

“Ini termasuklah pelaksanaan projek-projek tebatan banjir dan pembangunan sistem amaran bencana serta penambahbaikan sistem saliran di lokasi yang berisiko tinggi berlakunya bencana,” titah baginda.

Sumber : PAHANGMEDIA