Bulan Puasa Semakin Hampir, Sama-Sama Semak Checklist Rebut Ganjaran Ibadah Ramadan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Tidak lama lagi, seluruh umat Islam akan menyambut Ramadan dengan penuh rasa gembira ini kerana Ramadan merupakan bulan barakah yang Allah berikan kepada hamba-hambanya. Maka, seluruh umat Islam berpeluang mendapatkan kebaikan-kebaikan yang dijanjikan Allah sepanjang bulan ini. 

Bulan Ramadan juga diturunkan padanya Al-Quran serta menjadi sumber bekalan kekuatan kepada setiap orang Muslim. Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 185 yang bersabda bermaksud: 

“(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil). Kerana itu, barangsiapa antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu.”

Selain itu, terdapat keistimewaan lain pada bulan Ramadan sepertimana telah dijelaskan oleh Rasulullah bahawa pintu-pintu syurga akan dibuka dan pintu-pintu neraka pula akan ditutup. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Apabila datangnya Ramadan, nescaya dibuka pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.” (Hadis Riwayat Muslim 1079)

Hikmah pada bulan Ramadan sangat besar kerana ianya bulan yang sering ditunggu-tunggu oleh seluruh umat Islam untuk meningkatkan ibadah kepada Allah Taala. Pada masa inilah, kita perlu membuat persiapan sebelum bulan Ramadan agar amalan yang kita lakukan akan berterusan sehingga bulan Ramadan dan bulan-bulan yang seterusnya.

Antara perkara yang boleh dilakukan untuk persiapan menuju Ramadan ialah:

1. Berdoa

Kita sebagai manusia yang tidak pernah lari daripada melakukan kesilapan, kita haruslah perbanyakkan berdoa supaya Allah mengampunkan segala dosa-dosa kita yang lalu, memakbulkan apa yang kita hajati dan sebagainya. Ini kerana doa merupakan senjata bagi orang-orang mukmin. Jadi, berdoalah bersungguh-sungguh agar kita dipertemukan dengan bulan Ramadan tahun ini dan akan datang.

2. Berlatih Puasa di Bulan Syaaban

Diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah:

Maksudnya: “Rasulullah pernah berpuasa sehingga seseorang berkata bahawa dia tidak akan berhenti berpuasa, dan dia akan meninggalkan puasa sehingga seseorang berkata bahawa dia tidak akan berpuasa. Aku tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa sebulan penuh kecuali bulan Ramadan, dan aku tidak melihat baginda berpuasa pada mana-mana bulan lebih banyak daripada bulan Syaaban”. (Hadis Riwayat Bukhari 1969)

3. Siapkan Jadual Amalan Khusus Bulan Ramadan

Ini adalah supaya kita tidak terleka sewaktu bulan Ramadan untuk merebut pahala-pahala sunat disertai dengan amalan-amalan sunat pada bulan Ramadan.

4. Kenal Pasti Kumpulan Atau Rakan-Rakan Yang Ingin Beramal

Berkawanlah dengan orang yang baik-baik yang boleh diajak untuk melakukan amal ibadah dan menuju ke arah kebaikan. 

Kita juga dituntut untuk sentiasa berdamping dengan orang-orang soleh atau alim agar sifat atau perkara yang ada pada diri mereka itu terkesan kepada diri kita juga. Hal ini ada dinyatakan di dalam sebuah hadis sahih yang bersabda bermaksud:

“Perumpamaan teman yang baik dan teman yang buruk adalah seperti seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang besi. Adapun, penjual minyak wangi akan memberi kamu (minyak wangi tersebut), atau kamu membeli daripadanya, atau kamu mendapat bau yang harum daripadanya. Sedangkan tukang besi pula, akan membakar bajumu dan juga kamu mendapatkan bau yang busuk.” (Hadis Riwayat Bukhari 5534 dan Muslim 2628)

5. Buat Persiapan Aidilfitri Awal

Sepuluh malam terakhir adalah waktu yang perlu disibukkan dengan ibadah, bukannya dengan persiapan raya. Namun, persiapan untuk menyambut Aidilfitri tidak harus dilupakan kerana ia adalah hari kemenangan buat umat Islam. Adalah lebih baik membuat persediaan awal untuk Aidilfitri kerana 10 malam terakhir adalah waktu turunnya malam Lailatulqadar sepertimana firman Allah:

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkati dan sesungguhnya Kamilah yang memberi peringatan”. (Surah Ad-Dukhan: 3)

6. Wujudkan Suasana Ibadah Dalam Keluarga Seperti Amalan Rasulullah

Sabda Rasulullah:

Maksudnya: “Baginda Nabi apabila masuknya hari 10 terakhir Ramadan, Baginda akan mengetatkan kain (bersungguh-sungguh beribadah dan tidak melakukan hubungan suami isteri), menghidupkan malam tersebut dan mengejutkan ahli keluarganya (untuk turut menghidupkan malam).” (Hadis Riwayat Bukhari 2024)

Oleh itu, sebagai umat Islam perlulah bersungguh-sungguh merebut ganjaran yang Allah berikan di dalam bulan Ramadan penuh kemuliaan yang bakal tiba nanti serta di dalam bulan-bulan lain. Semoga Allah SWT memasukkan kita dalam kalangan hamba-Nya yang dapat bertemu dengan bulan Ramadan yang penuh dengan rahmat dan pengampunan dari-Nya.

Sumber: MSTAR