Pesara Rugi RM85,000 Terpedaya Pelaburan Tak Wujud

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Seorang pesara berusia 62 tahun rugi kira-kira RM85,00 selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan saham tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa mulanya melayari laman sosial Facebook pada 22 Januari lalu dan melihat iklan menawarkan pelaburan saham.

Menurutnya, mangsa beralamat di Kampung Mat Kilau, Jerantut tertarik dengan pelaburan berkenaan dan berhubung dengan individu memperkenalkan diri sebagai Nor Atikah melalui aplikasi WhatsApp.

“Dia diberikan satu pautan dan dalam tempoh dua hari iaitu 22 dan 23 Januari lalu, membuat 13 transaksi berjumlah RM84,776.65 ke dalam lima akaun bank berlainan untuk pelbagai pembayaran termasuk caj proses bagi mendapatkan keuntungan pelaburan saham terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Wazir berkata, selepas selesai membuat semua pembayaran yang ditetapkan, mangsa sehingga kini masih tidak menerima apa-apa pulangan seperti dijanjikan dan berasa ditipu lalu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut semalam.

Dalam kes lain, seorang pengawal keselamatan kerugian RM3,500 selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan tidak wujud

“Mangsa berhubung dengan suspek di aplikasi Telegram dan berminat dengan pakej RM500 yang didakwa berpeluang mendapat keuntungan RM7,000 dalam masa 6 jam sahaja. Dia membuat tiga kali pembayaran sebanyak RM3,500, tetapi mula mengesyaki tertipu apabila tidak mendapat sebarang keuntungan seperti ditawarkan,” katanya.

Katanya, dua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu tahun hingga 10 tahun jika sabit kesalahan.

Sumber: BERITA HARIAN