Pahang Sedia RM20 Juta Bantu Usahawan Mikro Yang Terjejas

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Kerajaan negeri memperuntukkan RM20 juta menerusi Skim Pembiayaan Kewangan Usahawan Mikro Pahang (I-PUSH) bagi membantu usahawan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, skim pembiayaan tanpa faedah itu boleh memberikan manfaat kepada 2,500 usahawan mikro.

Katanya, pendaftaran permohonan yang menawarkan pembiayaan antara RM3,000 hingga RM10,000 bermula pada 1 lalu hingga 30 April ini dengan syarat yang ditetapkan.

“Bagi mengurangkan beban pemohon, pembayaran balik pembiayaan tanpa faedah turut diperkenalkan dalam skim I-PUSH iaitu tempoh pembiayaan selama lima tahun termasuk moratorium diberikan pada tahun pertama.”

“Syarat kelayakan berdasarkan keputusan Jawatankuasa Panel Pemilih Skim I-PUSH yang dilantik oleh kerajaan negeri.”

“Skim I-PUSH ini adalah inisiatif kerajaan Pahang yang diumumkan dalam Belanjawan Negeri Pahang 2022 dengan peruntukan sejumlah RM20 juta,” katanya pada sidang media di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Wan Rosdy berkata, menerusi skim I-PUSH, kerajaan negeri akan menjalin hubungan kerjasama dengan bank tempatan sebagai bank pelaksana atau ejen I-PUSH.

Menurutnya, kerajaan negeri percaya bantuan itu dapat dicapai kumpulan sasar secara lebih meluas melalui kerjasama strategik dengan bank pelaksana.

Katanya, pemohon boleh merujuk panduan permohonan skim I-PUSH di portal rasmi https://smu.pahang.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut.

“Kerajaan Pahang sentiasa peka dengan keperluan semasa dan akan terus komited membantu usahawan terjejas bagi menjamin kesejahteraan rakyat,” tambah beliau.

Sumber: HARIAN  METRO