Bolehkah Mencalit Gincu Di Bibir Pada Bulan Puasa?

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Syeikh Muhammad bin Saleh Al-Utsaimin pernah ditanya tentang hukum menggunakan krim bagi orang yang puasa untuk menghilangkan kekeringan di bibir. Maka, beliau menjawab:

“Diperbolehkan bagi seseorang untuk melembabkan bibir atau hidungnya dengan menggunakan krim atau membasahinya dengan air, dengan kain atau semacamnya. Namun perlu dijaga, jangan sampai ada bahagian yang masuk ke perutnya. Jika ada yang masuk ke perut tanpa sengaja maka puasa tidak batal. Sebagaimana orang yang berkumur, kemudian tiba-tiba ada bahagian yang masuk ke perut tanpa sengaja, puasanya tidak batal.” (Majmu’ Fatawa Ibnu Utsaimin, 19:224)

Para ulama’ telah berpendapat bahawa segala bahan kecantikan yang diletakkan di luar kulit, sama ada yang berbau atau tidak dan untuk tujuan berubat atau kecantikan tidak termasuk dalam kategori pembatal puasa kecuali jika seseorang itu memakai ubat-ubatan tersebut lalu menelannya. Hal ini juga telah dijelaskan melalui sebuah hadis yang berbunyi:

“Tidak mengapa untuk merasa cuka atau yang lainnya, selagi tidak memasuki tekaknya dan dia sedang berpuasa.
(Hadis Riwayat Ibn Abi Syaibah)

Oleh itu, menurut jumhur ulama’, persoalan ini disamakan dengan jika tukang masak atau golongan ibu yang memasak juadah berbuka puasa dan ingin merasa lauk tersebut adalah tidak batal puasanya selagi dia tidak menelan juadah tersebut.

Walau bagaimanapun, menurut kitab mazhab al-Syafi’e, makruh hukumnya perbuatan tersebut tetapi tidak membatalkan puasa. Hal ini kerana, mereka bimbang jika boleh tertelan sehingga membatalkan puasa. Ia telah disebut melalui Syeikh Al-Islam Ibn Taimiyyah RA yang berkata:

“Merasa makanan adalah makruh sekiranya tiada hajat tetapi ia tidak membatalkan puasa. Sekiranya terdapat hajat (untuk merasanya) makai a seperti al-madhmadhoh (berkumur). (Majmu’ al-fatawa, 25/266)

Justeru, mereka yang mencalit lipstik atau gincu di bibir sebagai pelembab atau untuk mengelakkan daripada kelihatan pucat, maka perlu berhati-hati serta berusaha daripada kerap menjilat bibir kerana bimbang akan tertelan rasa tersebut.

Bagaimana pula dengan mereka yang sengaja meletakkan perisa makanan atau lipstik di bibir di bulan puasa dengan alasan tidak mengapa hukumnya selagi tidak tertelan?

Secara logiknya, hanya alat kecantikan sahaja yang akan diletakkan di bibir. Jika secara sengaja mencalit perisa-perisa atau makanan di bibir, maka perbuatan itu adalah makruh kerana bimbang akan tertelan sehingga membatalkan puasa.

Kesimpulannya, tidak batal puasa jika kaum hawa ingin mengenakan gincu atau pelembab bibir untuk tujuan mengelakkan bibir yang terlalu kering sehingga merekah. Namun, diingatkan di sini bahawa jika niat memakai gincu dalam keadaan berlebih-lebihan sehingga menimbulkkan tabarruj, ia adalah tidak digalakkan kerana berhiasa diri di dalam Islam hanyalah untuk suami sahaja.

Sumber: TZKRH.COM