Terengganu Inc Agih 3000 Bekas Bubur Lambuk Percuma

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Tradisi pengagihan bubur lambuk kembali diteruskan pada Ramadan kali ini melalui Kumpulan Terengganu Inc dengan 3000 bekas bubur lambuk kepada komuniti tempatan di Masjid Abidin.

Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, program agihan makanan tradisi itu merupakan aktiviti tahunan sejak 2017 menerusi Terengganu Inc serta 15 anak-anak syarikat kumpulan bersama warga masjid dan sekitarnya.

Menurutnya, sebanyak 1,000 bekas bubur lambuk sehari akan diagihkan bermula 3 hingga 5 April dan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) fasa endemik dengan mewajibkan pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal.

“Kami harap acara tahunan ini dapat membantu mereka yang kurang berkemampuan membeli juadah atau tidak berkesempatan menyediakan makanan berbuka puasa menikmati makanan sinonim dengan bulan puasa itu.

“Semoga langkah tepat ini mengekalkan amalan pengagihan bubur lambuk di sekitar kawasan masjid, sekaligus dapat menyuburkan jalinan kerjasama dan ikatan silaturahim anatara kumpulan Terengganu Inc sendiri dan masyarakat sekeliling” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Burhanuddin turut berkongsi perancangan CSR syarikat induk perlaburan negeri pada bulan itu seperti program bantuan buat golongan asnaf di bawah ‘Jejak Ramadhan’.

Sebanyak RM70,000 telah diperuntukkan pada bulan Ramadhan sebagai tanda kecaknaan Terengganu Inc kepada golongan sasar, kos kewangan tersebut meliputi pengagihan bubur lambuk, CSR ‘jejak ramadhan’ iaitu pengagihan sumbangan dan bakul makanan kepada keluarga asnaf dan majlis iftar meraikan keluarga kurang berkemampuan dan lain-lain sumbangan.

Hadir sama, Datuk Dr Syed Mohammad Salleh Syed Yusof Al Zawawi serta ketua-ketua syarikat anak-anak syarikat kumpulan yang terdiri daripada TDM Plantation Sdn Bhd (TDMP), Syarikat Percetakan Yayasan Islam Terengganu, Ladang Rakyat Terengganu Sdn. Bhd, Hartanah Terengganu Sdn Bhd, Primula Beach Hotel, PTB Unit Trust Berhad (ASDI) dan Terengganu Safety Training Centre Sdn Bhd.

Sumber: UNIT BERITA MANIS FM