13.5 Juta Benih Ikan, Udang Dilepaskan di Perairan Pahang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Sebanyak 13.5 juta benih ikan dan udang galah telah dilepaskan di perairan Pahang dalam tempoh selama 12 tahun sejak tahun 2010.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar berkata, pelepasan benih ikan air tawar dan udang galah itu mampu meningkatkan pendapatan nelayan sehingga tiga kali ganda.

“Tujuan kita menambah pendapatan nelayan apabila ada sumber laut yang banyak untuk mereka jual.”

“Jadi, sebab itu kita serius untuk melepaskan lebih banyak benih ikan dan udang galah ke sungai di Pahang sepanjang tahun,” katanya.

Abdullah memaklumkan, selain sungai utama seperti sungai Pahang, sungai Jelai, sungai Bera dan sungai Semantan pelepasan benih ikan turut dilakukan di beberapa tasik semula jadi.

Tambah beliau, benih ikan ini dikeluarkan Pusat Pengembangan Akuakultur (PPA) Bukit Tinggi, Bentong dan PPA Perlok, Jerantut.

“Saya difahamkan pada tahun lalu kira-kira 2.75 juta benih ikan air tawar pelbagai spesies telah dikeluarkan bagi tujuan pelepasan umum.”

“Selain itu, benih percuma juga diberikan kepada penternak akuakultur di seluruh negeri ini oleh PPA Bukit Tinggi dan PPA Perlok,” ujarnya.

Mengenai Elaun Sara Hidup Nelayan Darat (ESHND) sebanyak RM250 setiap bulan yang diberikan kepada nelayan. Abdullah berkata, seramai 380 nelayan darat sepenuh masa yang berdaftar layak menerima bantuan terbabit.

Katanya, elaun itu selaras usaha kerajaan yang prihatin dengan nasib nelayan di negara ini dan dapat meringankan beban mereka.

Sumber: SINAR HARIAN