2 Juta Kenderaan Dijangka Masuk Kelantan Aidilfitri Ini

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PASIR PUTEH – Polis menjangkakan lebih dua juta kenderaan akan memasuki Kelantan pada sambutan Aidilfitri tahun ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Shafien Mamat, berkata secara purata kenderaan keluar masuk ke negeri ini sekitar 300,000 hingga 350,000 sehari.

“Mereka keluar masuk dan kumpulan awal ini nak sambut puasa di kampung. Selepas itu, kumpulan kedua yang nak beraya di kampung menyebabkan akan ada keluar masuk kenderaan luar hinggalah Hari Raya nanti,” katanya ditemui ketika menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Pasir Puteh hari ini.

Shafien berkata, pihak polis sudah membuat penambahan anggota khususnya bahagian trafik bagi mengawal lalu lintas sepanjang Ramadan ini.

Katanya, polis turut mengadakan pemeriksaan sekatan jalan raya (SJR) di empat lokasi keluar masuk ke Kelantan iaitu di Bukit Yong di Pasir Puteh, Jeli dan dua di Gua Musang.

“Kali ini kita juga menggunakan unit anjing pengesan (K9) di lokasi pemeriksaan bukan sahaja untuk mengawal trafik, tetapi menjaga jenayah berkaitan sempadan seperti penyeludupan, tangkapan mercun dan jenayah lain membabitkan kenderaan keluar masuk ke negeri ini,” katanya.

Terdahulu, pada majlis berkenaan, Shafien menyaksikan upacara serah terima tugas Ketua Polis Daerah Pasir Puteh antara Deputi Superintendan Ediansha Endal dan penggantinya, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria.

Majlis turut menyaksikan penyerahan dan terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) IPD Pasir Puteh antara Nor Nadia Wan Ibrahim kepada Masliza Abu Bakar, disaksikan Pengerusi PERKEP Kontinjen Kelantan, Datin Zairihan Che Harun.

Sumber: BERITA HARIAN