KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan bercadang mewujudkan undang-undang melarang remaja dan kanak-kanak yang berusia 17 tahun dan ke bawah di negeri itu menghisap rokok elektronik (vape).
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin, berkata pelaksanaan larangan itu bakal tertakluk khususnya kepada mereka yang lahir pada 1 Januari 2005 dan ke bawah.
Beliau bagaimanapun, berkata perkara berkenaan masih di peringkat cadangan dan kerajaan negeri akan menyiap dan mengemukakan satu kertas kerja kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dibawa ke persidangan Parlimen akan datang.
Katanya, terdapat segelintir masyarakat beranggapan rokok elektronik tidak bahaya dan kesan sampingannya lebih rendah berbanding rokok biasa, tetapi hakikatnya kandungan nikotin vape lebih berbahaya.
Di samping itu, Izani berkata kerajaan negeri amat bimbang dengan peningkatan penggunaan rokok elektronik yang semakin berleluasa di negeri itu khususnya dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan golongan wanita.
“Kita mendapati ada yang baru berusia 10 tahun, telah mula terjebak dengan penggunaan rokok elektronik malah dalam kalangan wanita juga semakin hari semakin tinggi. Oleh itu, saya seru ibu bapa supaya terus pantau anak mereka supaya tidak hisap vape ini.
“Hal ini kerana di Kelantan, kita tidak mengeluarkan lesen untuk perniagaan rokok elektronik dan tidak mempunyai kuasa untuk menghalang orang menghisapnya kerana yang ada di pasaran sekarang mereka berniaga tanpa lesen selain menjual secara dalam talian,” tambahnya.
Sumber: BERITA HARIAN