KOTA BHARU – Polis Kelantan merekodkan rampasan mercun dan bunga api hampir RM400,000 sepanjang Ramadan.
Rampasan turut membabitkan tujuh tangkapan termasuk tiga wanita berusia antara 20 hingga 33 tahun.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, berkata jumlah itu menunjukkan penyeludupan barangan berkenaan tetap berlaku walaupun pihak berkuasa giat menjalankan kawalan.
“Semua mercun dan bunga api yang dirampas majoritinya adalah untuk pasaran tempatan namun ada juga sebahagiannya yang dibawa ke luar dengan menjadikan Kelantan sebagai transit atau laluan utama.”
“Kita akan terus membuat pemantauan terhadap aktiviti penyeludupan ini terutama dengan penugasan daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang berhampiran dengan sempadan,” katanya.
Mengulas kes membabitkan seorang anggota polis wanita yang ditahan kerana ditemui bersama sejumlah mercun dan bunga api bernilai RM5,000 di rumahnya di Kubang Kerian pada Khamis lalu, Shafien berkata, pihaknya sedang dalam proses melengkapkan kertas siasatan.
“Hari ini akan dapat arahan daripada Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan seterusnya dan selari dengan itu siasatan di bawah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) juga bermula.
“Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terbabit dengan perkara ini dan tindakan tegas akan diambil,” tambah beliau.
Menurutnya, pihaknya akan meneliti semua permohonan hari ini dan sekiranya menepati semua syarat ditetapkan, kelulusan akan terus dibuat.
Beliau berkata, setakat ini ada dua permohonan yang terpaksa ditolak kerana tidak mematuhi syarat dan hari ini saya akan teliti semua sembilan permohonan itu.
Sumber: BERITA HARIAN