Sepertimana kita tahu solat jenazah ini merupakan salah satu daripada fardu kifayah yang tidak boleh ditinggalkan oleh setiap golongan muslim. Sekiranya terdapat sebahagian dalam kalangan umat Islam yang telah melakukannya, maka ia dikira solatnya telah sempurna.
Selain itu, solat jenazah telah mula disyariatkan pada bahagian awal hijrah iaitu ketika di Madinah. Maka, jenazah yang meninggal dunia sebelum itu seperti Saidatina Khadijah dikebumikan tanpa disembahyangkan jenazahnya.
Oleh itu, terdapat banyak dalil yang menunjukkan kepada pensyariatan solat jenazah. Antaranya adalah melalui riwayat oleh Ibnu Abbas RA, Baginda SAW bersabda:
Maksud: “Tiada seorang lelaki muslim yang meninggal dunia, kemudian terdapat empat puluh orang lelaki yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun mendirikan solat jenazah ke atasnya, melainkan Allah memberikan syafaat dari mereka buat dirinya (jenazah tersebut).” (Hadis Riwayat Muslim, No. 948)
Jadi, siapa yang mula-mula disembahyangkan jenazahnya? Menurut periwayatan, salah seorang sahabat yang bernama As’ad bin Zurarah ialah yang mula-mula disembahyangkan jenazah oleh Baginda SAW.
As’ad, Seorang Pemimpin Yang Disegani
As’ad bin Zurarah merupakan seorang putera kepada Zurarah bin ‘Udas bin Ubadi dan Su’ad al-Furai’ah binti Rafi’ bin Muawiyah.
Ibunya merupakan seorang ibu saudara kepada Sa’ad bin Muaz iaitu salah seorang sahabat yang telah gugur ketika Perang Khandaq. Maka, diriwayatkan bahawa ayahnya merupakan seorang tokoh yang sangat disegani dari Bani al-Najjar dan pengaruh yang diwarisi pula oleh As’ad.
Kisah beliau ketika masuk Islam adalah ketika beliau memasuki Kaabah untuk tawaf dan waktu itu juga beliau telah melihat Baginda SAW yang sedang berdiri di Kaabah sedang menyampaikan dakwahnya.
Pada putaran yang pertama, As’ad menutup telinganya dengan kapas sebagaimana telah dinasihati oleh rakannya iaitu ‘Utbah bin Rabiah yang menegahnya daripada mendengar ajaran Rasulullah.
Pada putaran yang kedua pula, As’ad telah tertarik kepada ajaran tersebut setelah sevara tidak sengaja terdengar ucapan yang diberikan oleh Muhammad SAW.
Pada waktu itu juga, beliau merasa pelik kerana tiada satu pun ucapan yang diberikan itu berupa sihir atau perkara buruk sebagaimana yang diceritakan ‘Utbah sebaliknya ia merupakan ajaran dan petunjuk yang menerangi hatinya.
Kemudian, beliau telah berjumpa dengan Baginda SAW dan Baginda telah membacakan ayat dari Surah Al-An’am (6:151-154) yang akhirnya telah membuka hatinya untuk menerima Islam.
Pada itulah detik permulaan beliau memeluk Islam dan sentiasa meletakkan usaha untuk mendekati Baginda SAW untuk mempelajarinya. Beliau juga sering disegani disebabkan keberaniannya yang tidak dapat ditandingi dan juga pengaruh yang ada pada beliau.
Beliau telah menjadi orang Ansar pertama yang disolatkan oleh Baginda SAW di Masjid Nabawi. Beliau juga telah meninggal dunia sekitar sembilan bulan selepas peristiwa hijrah Baginda ke Madinah.
Sumber: TZKRH.COM