TFC Gagal Jinak JDT

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) melebarkan kemenangan keempat berturut-turut selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.

Gol kemenangan skuad kendalian Benjamin Mora dihasilkan pada babak pertama menerusi dua gol oleh Bergson Da Silva manakala gol tunggal TFC dijaringkan Kpah Sherman yang memadamkan rekod tanpa bolos skuad Harimau Selatan selepas tiga perlawanan.

Tuan runah tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan seawal minit keenam berpunca daripada bola sepakan lintang Corbin Ong di posisi sayap kiri tepat kepada Bergson Da Silva yang menanduk bola menewaskan penjaga gol, Muhammad Rahadiazli Rahalim.

Tersentak dengan gol awal itu, skuad kendali Nafuzi Zain menyusun rentak bagi memburu gol penyamaan apabila Sherman cuba bertindak solo pada minit kesembilan tapi bola rembatan leret di luar kotak penalti hanya sipi di sebelah kanan gawang gol JDT.

Gawang JDT yang begitu kebal sejak tiga perlawanan lalu akhirnya dibolosi oleh Sherman pada minit ke-30 untuk menyamakan kedudukan selepas menyambar bola yang gagal ditangkap kemas penjaga gol, Farizal Marlias berpunca daripada rembatan deras Manuel Ott di luar kotak penalti.

Namun JDT tidak menunggu lama untuk kembali berada di depan selang dua minit kemudian selepas bola sepakan lintang Ariff Aiman Hanapi di posisi sayap kanan menyaksikan Bergson mencetak gol kedua peribadi apabila menanduk bola menewaskan Rahadiazli.

Malang buat pelawat yang sepatutnya mampu menyamakan kedudukan pada minit ke-40 tapi bola rembatan Sherman yang menerima bola lorongan Ott sekadar menggegar palang gol ketika Farizal sudah tertewas.

Bersambung babak kedua, Bergson hampir mencipta hatrik pada minit ke-55 selepas menerima bola hantaran Ariff Aiman namun bola rembatan deras pemain import dari Brazil itu sempat di tampan Rahadiazli.

Shane Lowry menjadi penyelamat JDT selepas menyelamatkan bola rembatan Sherman tatkala Farizal sudah tertewas pada minit ke-59.

Bagaimanapun, selang seminit kemudian penjaga gol JDT itu terpaksa diusung keluar selepas berlaga dengan Lowry.

Sumber: BERITA HARIAN