Hamilton Gesa Peminat Lawat Malaysia

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

LONDON – Lewis Hamilton kembali ke London selepas mengunjungi Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur.

Juara dunia Formula 1 tujuh kali itu singgah di Kuala Lumpur dari Melbourne selepas menyertai Grand Prix Australia hujung minggu lalu.

Walaupun Petronas menaja pasukan Mercedes, Hamilton tidak pernah mengunjungi ibu pejabat syarikat itu dan mengakui menikmati kunjungannya itu.

Pelumba 37 tahun itu turut berkongsi gambar-gambar dari puncak menara berkenaan dan menggesa pengikutnya untuk pergi ke sana.

“Selepas 10 tahun bersama @Petronas ini kali pertama saya berada di tingkat paling atas. Pemandangan menarik Kuala Lumpur, tempat ini amat cantik seperti penduduk Malaysia.

“Anda perlu datang ke sini jika belum pernah,” kata Hamilton di Instagram.

Hamilton tiba di London pagi tadi dan kini tumpuannya kembali terarah untuk Grand Prix Emilia Romagna minggu depan.

Hamilton mengharungi permulaan sukar musim ini, menduduki tempat ketiga di Bahrain, ke-10 di Arab Saudi dan keempat di Melbourne.

Sumber: BERITA HARIAN