Beri Azreen Peluang Beraksi di Sukma

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Terengganu – Kerajaan negeri kesal selepas pelari emasnya, Azreen Nabila Alias dinafikan hak beraksi pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Lembah Klang yang dijadualkan bermula 29 September hingga 8 Oktober depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, beliau tidak akan berdiam diri, sebaliknya akan terus berusaha bagi memastikan pelari pecut berusia 22 tahun itu dapat memperagakan bakatnya pada pentas terbesar sukan tanah air itu.

“Kita terkejut dan tidak berpuas hati mengenai pengguguran atlet pecut wanita Terengganu, Azreen Nabila sebagai atlet Sukma yang dinafikan haknya oleh Jawatankuasa Tertinggi Sukma atas alasan atlet itu menyertai negara ke temasya Sukan Olimpik Tokyo, Jepun 2020 tahun lalu.

“Sedangkan jika mengikut syarat, pelari pecut kelahiran Setiu itu layak menyertai Sukma kerana dia disenaraikan beraksi di temasya Sukan terbesar dunia itu bukan secara merit sebaliknya melalui ‘wild card’, malah kami pun begitu bangga dan memberikan sokongan kepada Azreen beraksi dalam pentas Olimpik bukannya bertindak kejam menghalang dia beraksi dalam pentas tertinggi itu dengan harapan Azreen dapat beraksi di pentas Sukma, namun sebaliknya berlaku.

“Kita sudah membuat rayuan dalam mesyuarat jawatankuasa tertinggi yang saya sendiri hadiri dengan mengemukakan rayuan dan menyatakan justifikasinya, pada peringkat awal ada beberapa negeri menyokong penyertaan Azreen dalam pentas Sukma, tapi apabila perkara ini dibawa ke mesyuarat Pengarah Majlis Sukan dan ianya dibincangkan kembali dalam Jawatankuasa Tertinggi Sukma baru-baru ini, keputusan mengecewakan,” katanya ketika ditemui semalam.

Mengulas lanjut, Wan Sukairi mengharapkan mesyuarat jawatankuasa tertinggi dapat memberikan pertimbangan khas kepada Azreen berdasarkan justifikasi dikemukakan itu iaitu secara `wild card’, lagipun dalam tempoh sebulan sahaja pengumuman penyertaan Azreen ke Sukan Olimpik.

“Kami tahu jawapan sudah diterima daripada Jawatankuasa Tertinggi Sukma yang tidak membenarkan Azreen beraksi, tapi kita tidak berputus asa dan akan berusaha lagi jika ada ruang bagi memastikan atlet itu dapat beraksi dalam kejohanan terbesar negara itu.

“Lagipun atlet berhijab itu juga mahu memperbaiki catatan terbaiknya pada Sukma edisi ke-19 di Perak 2018 apabila merakam catatan 11.81 saat (s) ketika mengutip pingat emas dalam acara 100 meter(m), jadi berilah peluang kepadanya,” katanya.

Sumber: HARIAN METRO