25,146 Murid Tahun Satu di Pahang Terima RM100

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Kerajaan negeri melalui Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2022 telah memperuntukkan sebanyak RM2.514 juta kepada 25,146 murid Tahun Satu di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata setiap seorang daripada mereka akan menerima wang berjumlah RM100.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 25,051 murid dari Sekolah Kebangsaan dan 95 pelajar Sekolah Rendah Tahfiz Pahang.

“Pemberian RM100 kepada murid Tahun Satu susulan pengumuman BPP 2022 yang diumumkan baru-baru ini yang membabitkan empat kluster utama yang keseluruhannya berjumlah RM30 juta.”

“Kluster berkenaan ialah Kluster Pelajar dan Anak Muda, Kluster Golongan B40, Kluster Umum dan Kluster Apresiasi membabitkan kira-kira 300,000 penerima,” tambah beliau.

Wan Rosdy berkata, tiada permohonan perlu dilakukan ibu bapa kerana semua murid Tahun Satu di Pahang layak menerima RM100.

Beliau juga berkata, bantuan itu diharap dapat meringankan beban ibu bapa untuk membeli kelengkapan persekolahan anak mereka.

Selain murid Tahun Satu, Wan Rosdy berkata, BPP 2002 memberikan wang tunai RM100 kepada 2,400 pelajar tahfiz Pahang membabitkan peruntukan RM240,000.

“Sebanyak RM100 tunai untuk tambah nilai talian telekomunikasi kepada 25,871 pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) berjumlah RM2.857 juta.”

“RM200 tunai kepada 42,701 anak Pahang yang berjaya memasuki institusi pengajian tinggi sama ada dalam dan juga luar negara dengan peruntukan RM8.54 juta ringgit.

“Seramai 700 pelajar Pusat Penjagaan Anak Yatim turut menerima wang tunai RM200 yang keseluruhan berjumlah RM140,000.”

Katanya, peruntukan keseluruhan untuk bidang pendidikan di bawah BPP 2022 berjumlah RM14.291 juta.

Sumber: BERITA HARIAN