Analisis Sampel Puding Buih Belum Diketahui

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Jabatan Kesihatan negeri (JKNT) masih menunggu keputusan hasil analisis puding buih yang dikatakan punca dua beradik keracunan, Rabu lalu.

Pengarah JKNT, Datuk Dr Kasemani Embong, berkata setakat ini analisis sampel puding buih yang dihantar ke Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan Bukit Tunggal belum diperolehi.

Katanya lagi, kebiasaannya keputusan hasil analisis setiap makanan termasuk puding buih yang dikatakan punca dua beradik keracunan hanya akan diketahui dalam tempoh tujuh hari.

“JKNT tidak akan berkompromi, jika terbukti puding buih punca kes keracunan seperti dialami dua beradik berkenaan, peniaga akan diambil tindakan mengikut peraturan 39 di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985,” katanya kepada media selepas melakukan pemantauan Keselamatan dan Kualiti Makanan di Bazar Ramadan Batu Burok, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Terengganu, Dr Fatimah Muda dan Timbalan Pengarah Kesihatan (Keselamatan dan Kualiti Makanan), Che Ghani Sidek.

Khamis lalu, dua beradik iaitu Muhammad Aqil Rifqi Mohd Rusnizam, 9, Nur Azzahra Raisha, 7, dari Kampung Bukit Tok Beng, Kuala Nerus, mengalami cirit birit dan muntah dipercayai memakan puding buih dibeli ibunya, Tuan Naemah Tuan Husain, 37, di gerai menjual kuih berhampiran Padang Bola Kampung Bukit Tumbuh, Rabu lalu.

Bagaimanapun, Muhammad Aqil Rifqi dan Nur Azzahra Raisha sembuh dan dibenarkan pulang ke rumah semalam selepas menjalani rawatan selama lima hari di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Dalam perkembangan lain, Dr Kasemani meminta peniaga kuih mencatatkan nama, alamat dan nombor telefon pembekal yang menghantar makanan untuk dijual bagi memudahkan pengesanan dan tindakan dilakukan jika berlaku insiden tidak diingini terutama membabitkan makanan berpunca daripada keracunan.

Sumber: BERITA HARIAN