Puasa Tapi Tidur Selepas Sahur, Apa Hukumnya? Jangan Biasakan Diri, Takut Terlajak Subuh!

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Ada sesetengah antara kita yang kembali tidur sebaik sahaja selepas bersahur akibat berasa letih. Jadi, persoalannya, adakah perkara itu dibenarkan di dalam Islam? Bagaimana pula status orang yang puasa tapi tidur selepas bersahur?

Menurut Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, asasnya tidak menjadi kesalahan seseorang itu tidur semula selepas bersahur disebabkan terlalu penat atau alasan lain.

Kata Zulkifli lagi, orang yang tidur selepas bersahur ini juga berkait rapat dengan perbahasan ulama, jika seseorang tersebut  tidur sebelum masuknya waktu solat.

“Malah ulama dalam kalanga  mazhab Maliki berpendapat ia diharuskan baginya untuk tidur dan tidak ada dosa ke atasnya.”

“Di samping itu, al-Ramli menyatakan, sekiranya seseorang itu tidur sebelum masuknya waktu solat, maka hukumnya tidak haram,” ujarnya.

Tambah Zulkifli, al-Khatib al-Syirbini turut menyebutkan, secara zahirnya tidak dihukumkan sebagai makruh bagi sesiapa yang tidur sebelum masuknya waktu solat kerana dia belum lagi diwajibkan dengannya.

Manakala, menurut Ibn Hajar al-Haitami pula berpendapat, tidur selepas masuknya waktu solat termasuk dalam tidur yang dimakruhkan, kebanyakkan ulama dan hal ini dikuatkan lagi dan disokong dengan perintah wajib untuk berjalan ke masjid bagi mendirikan solat Jumaat bagi mereka yang mana rumahnya jauh sebelum masuknya waktu solat.

Jelas Zulkifli, apa yang paling penting adalah asalkan tidur itu tidak menyebabkan seseorang tersebut terlepas daripada menunaikan solat Subuh. Begitu juga, bagi orang yang berpuasa tapi tidur selepas bersahur masih dikira sah selagi mana tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkannya.

“Walau bagaimanapun, waktu sahur merupakan waktu terbaik untuk kita berdoa dan beristighfar. Malah, ia adalah di antara waktu yang mustajab untuk berdoa kepada Allah. Justeru, janganlah kita terlepas daripada mendapatkannya.”

“Sekiranya waktu solat Subuh sudah terlalu hampir, maka sebaiknya tunggulah sekejap bagi menunaikannya terlebih dahulu.”

“Hal ini kerana tidak sepatutnya seseorang Muslim itu mengambil sikap sambil lewa terhadap solat yang merupakan tiang agama dan juga perkara pertama daripada amalannya yang akan dihisab kelak. Apatah lagi, di bulan Ramadan yang mulia ini,” pesannya.

Firman Allah SWT ketika menyebutkan antara sifat-sifat ahli syurga yang bermaksud:

“(Dan juga) orang-orang yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah), dan orang-orang yang benar (perkataan dan hatinya), dan orang-orang yang sentiasa taat (akan perintah Allah), dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah) dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur.”

Sumber: MSTAR