Nuzul Quran, Cerita Di Sebalik 17 Ramadan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Seluruh negara bercuti untuk meraikan peristiwa Nuzul Quran (tanggal Al-Quran diturunkan). Bagaimana sejarah penurunan Al-Quran dan mengapa 17 Ramadan dipilih sebagai tarikh sambutan Nuzul Al-Quran?

Kita mengetahui bahawa Al-Quran diturunkan kepada Rasulullah SAW sedikit demi sedikit mengikut peristiwa atau permasalahan yang berlaku kepada baginda. Maka apa pula maksud Al-Quran diturunkan pada Bulan Ramadan? Adakah Rasulullah menerima wahyu hanya pada bulan Ramadan dan bukan dalam bulan-bulan yang lain?

Pertamanya kita perlu memahami bahawa penurunan Al-Quran ini mempunyai dua peringkat:

Pertama, Al-Quran diturunkan secara sekaligus daripada Lauh Mahfuz ke langit dunia ‘Baitul Izzah’ pada bulan Ramadan.

Kedua, Al-Quran diturunkan pula secara beransur-ansur selama 23 tahun, dari langit dunia kepada Nabi SAW (mengikut peristiwa, atau persoalan-persoalan yang diajukan oleh umat Islam kepada Nabi Muhammad SAW)

Penekanan akan diberikan lebih kepada kaedah penurunan yang pertama , sesuai dengan keadaan kita semua yang sedang berada di Bulan Ramadan. Berikut disertakan juga dalil-dalil yang menunjukkan bahawa penurunan Al-Quran berlaku pada bulan Ramadan.

Dalil Bahawa Al-Quran Berlaku Pada Bulan Ramadan (Khusus Pada 10 Malam Terakhir)
(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.. (Surah Al-Baqarah, 2:185)

Seterusnya Allah memperincikan lagi bilakah tarikh sebenar dalam bulan Ramadan, Al-Quran diturunkan melalui ayat ini:

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar,”
(Surah Al-Qadr, 97:1)

Maka jelas di sini bahawa Al-Quran sebenarnya diturunkan pada malam lailatul qadr.

Daripada Aisyah R.anha, beliau berkata Rasulullah SAW beri’tikaf di sepuluh hari terakhir bulan Ramadan dan beliau bersabda:

“Carilah malam Lailatul Qadar di (malam ganjil) pada 10 hari terakhir bulan Ramadan” (Hadits Riwayat Bukhari – 4/225 dan Muslim, no. 1169)

Melalui riwayat Saidina Umar pula, (dia berkata) : Rasulullah SAW bersabda:

“Carilah di sepuluh hari terakhir, jika tidak mampu maka jangan sampai terluput tujuh hari sisanya”

Bermakna jangan sampai terlepas daripada tujuh hari yang terakhir.

Berbalik kepada persoalan bilakah Al-Quran diturunkan, maka para pentafsir mengeluarkan pendapat bahawa Al-Quran diturunkan pada salah satu daripada tarikh tersebut. Antara pendapat yang ada adalah seperti berikut:

  1. Pendapat Pertama Mengatakan Bahawa Al-Quran Diturunkan Pada 17 Ramadan
    Pendapat ini agak masyhur dan diguna pakai di Malaysia dan Indonesia sehingga dijadikan tarikh cuti umum. Pendapat ini berdasarkan suatu riwayat daripada al-Waqidi menerusi Abu Ja’far al-Baqir yang mengatakan bahawa (penurunan ) wahyu kepada Rasulullah SAW bermula pada hari Isnin, 17 Ramadan ( dan dikatakan pada 24 Ramadan).

Namun Ibnu Hisyam dalam kitab sirahnya di bawah bab “Ibtida’ Tanzil Al-Qur’an” menukilkan pendapat Ibnu Ishaq yang memilih tanggal 17 Ramadan.

Maksudnya: Ibn Ishaq berkata: Rasulullah SAW mula diturunkan wahyu kepadanya pada bulan Ramadan. Allah Azza Wajalla berfirman ( maksudnya ): Bulan Ramadan yang diturunkan padanya Al-Qur’an sebagai petunjuk kepada manusia dan keterangan-keterangan kepada petunjuk itu,juga sebagai pembeza ( antara yang haq dan yang batil ). Dan Allah Ta’ala berfirman ( maksudnya ): Sesungguhnya Kami menurunkannya ( Al-Qur’an ) pada malam al-Qadr …Dan Allah berfirman ( maksudnya ): Sekiranya kamu benar-benar beriman kepada Allah dan apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami pada hari al-Furqan, hari pertembungan dua kumpulan… Itulah ( yang dimaksudkan) pertemuan(peperangan ) Rasulullah SAW dengan golongan musyrikin di Badr. Berkata Ibn Ishaq: Abu Ja’far Muhammad bin Ali bin Husain menceritakan kepadaku bahawa Rasulullah SAW bertemu ( memerangi) golongan musyrikin pada hari Juma’at, pagi 17 Ramadan…

2.2 Al-Quran Diturunkan Pada 21 Ramadan (Isnin)
Pendapat ini dipilih oleh Syeikh Mubarakfuri. Antara alasan beliau adalah seperti berikut:

(1) Majoriti ulama Sirah sepakat berpendapat bahawa Nabi SAW diutuskan menjadi seorang nabi dan rasul pada hari Isnin berdasarkan hadis daripada Abu Qatadah r.a dalam Sahih Muslim iaitu;

“Daripada Abu Qatadah r.a. bahawa Rasulullah SAW ditanya mengenai puasa sunat pada Isnin. Baginda menjawab maksudnya: “Isnin adalah hari aku dilahirkan, dan Isnin juga hari aku diutuskan”. (Riwayat Muslim, Ahmad, al-Baihaqiy dan al-Hakim)

(2) Hari Isnin pada tahun Nabi SAW diutuskan menjadi rasul jatuh sama ada pada hari 7 Ramadan, 14 Ramadan, 21 Ramadan dan 28 Ramadan. Hadis sahih tentang Lailatul Qadr (seperti yang telah disebutkan pada awal artikel ini) pula menyebutkan bahawa malam al-Qadr tidak berlaku melainkan pada malam-malam ganjil, sepuluh malam terakhir Ramadan.

(3)Setelah dibuat perbandingan dan kajian perhitungan taqwim, berdasarkan ayat al-Quran dan juga riwayat Abu Qatadah tersebut, beliau menyimpulkan bahawa baginda diutuskan wahyu (Al-Quran) tersebut pada malam 21 Ramadan.

  1. Al-Quran Diturunkan Pada 24 Ramadan
    Pendapat ketiga pula berdasarkan hadis berikut:

Maksudnya: Berkata Imam Ahmad: Abu Sa’id Maula Bani Hashim memberitakan kepada saya, katanya: ‘Imran Abu al-‘Awwam memberitakan daripada Qatadah daripada Abi al-Malih daripada Wathilah bin Al-Asqa’ bahawa Rasulullah SAW bersabda: Suhuf Nabi Ibrahim AS diturunkan pada malam pertama Ramadan, Taurat pula diturunkan pada 6 Ramadan, Injil diturunkan pada 13 Ramadan. Dan Allah menurunkan al-Furqan (Al-Qur’an ) pada 24 Ramadan.

Hadis di atas dihukumkan hasan oleh Syaikh al-Albani, manakala Syaikh Ahmad Shakir menghukumkan sanad hadis ini sebagai sahih.

Al-Hafiz Ibn Kathir juga ada menyebut hadis ini dalam kitabnya al-Bidayah wa al-Nihayah dan menyatakan bahawa berdasarkan hadis Wathilah ini, sebahagian ulama’ dari kalangan para sahabat dan tabi’in berpendapat bahawa malam al-Qadr berlaku pada malam 24 Ramadan.

Imam Al-Qurtubi pula menyebut hadis yang diriwayatkan daripada Wathilah Bin Al-Asqa’ di atas juga diguna pakai sebagai dalil dan hujah oleh Imam Hasan al-Basri dalam menegaskan bahawa malam al-Qadr berlaku pada malam 24 Ramadan.

Kesimpulannya, daripada keterangan yang telah dinyatakan di atas, persoalan tentang tarikh sebenar Al-Quran diturunkan dapat diringkaskan seperti berikut:

(1) Pendapat pertama yang menyatakan Al-Quran turun pada 17 Ramadan sekalipun dipegang oleh ramai orang, namun bercanggah dengan riwayat yang sahih yang mengatakan bahawa Al-Quran diturunkan pada 10 malam terakhir.

(2) Pendapat kedua yang mengatakan Al-Quran pada 21 Ramadan pula adalah merupakan pendapat dan perkiraan kajian Syeikh Mubarakfuri sendiri.

(3) Pendapat ketiga yang mengatakan Al-Quran turun pada 24 Ramadan pula dilihat paling kuat dan ada disebutkan dalam kandungan hadis sahih. Ia juga diperakui oleh tokoh-tokoh dalam bidang hadis sendiri.

Para ulama, ahli tafsir serta ahli sejarah membincangkan tarikh diturunkan Al-Quran kerana keprihatinan dan cinta kepada Al-Quran. Walaupun setiap daripada mereka mempunyai sandaran hujah yang berbeza, namun ruang perbincangan sebegini adalah ruang perbincangan yang penting dalam usaha mencari kebenaran.

Sumber: TZKRH.COM