MAIDAM Sasar Kutipan Zakat RM230 Juta Tahun Ini

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menyasarkan kutipan zakat RM230 juta tahun ini, peningkatan 15 peratus berbanding kutipan RM205 juta tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof Madya Dr Azrin Ahmad Mohd Adnan berkata pihaknya optimis dengan sasaran itu kerana banyak promosi dan kempen sedang dijalankan, terutama kepada syarikat-syarikat perniagaan yang beroperasi di Terengganu agar membayar zakat.

“Peningkatan kutipan zakat ini penting bagi menampung keperluan untuk 21,187 orang penerima asnaf fakir dan miskin di seluruh Terengganu agar mereka dapat menikmati kehidupan yang lebih sejahtera,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan perkhidmatan kaunter zakat pandu lalu MAIDAM di sini hari ini.

Beliau berkata kaunter yang beroperasi di perkarangan pejabat MAIDAM sepanjang bulan Ramadan itu dibuka setiap hari bekerja mulai 8.30 pagi hingga 4 petang bagi memudahkan lagi umat Islam menunaikan tanggungjawab membayar zakat.

Menurutnya pembayar zakat juga boleh menggunakan pelbagai kaedah bayaran sama ada secara tunai, kad kredit, kad debit atau cek tanpa perlu ke kaunter di dalam pejabat seperti kebiasaan sebelum ini.

Azrin berkata setakat ini (April) MAIDAM telah mengutip RM51 juta zakat dan daripada jumlah itu, 96 peratus (RM48.1 juta) telah diagihkan kepada lapan golongan asnaf yang layak.

Sumber: BERNAMA