Sebanyak 487,728 Kanak-Kanak Lengkap Vaksinasi COVID-19

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Sebanyak 487,728 kanak-kanak berumur antara lima hingga 11 tahun atau 13.7 peratus daripada populasi itu telah melengkapkan vaksinasi mereka di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat semalam.

Berdasarkan laman web COVIDNOW, seramai 1,425,865 kanak-kanak dalam kumpulan sama atau 40.1 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi remaja yang berumur antara 12 hingga 17 tahun, sejumlah 2,877,332 individu atau 92.5 peratus telah lengkap divaksin, manakala seramai 2,978,531 atau 95.8 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi populasi dewasa pula, sebanyak 15,985,545 individu atau 67.9 peratus telah menerima dos penggalak. Selain itu, seramai 22,961,980 atau 97.6 peratus telah melengkapkan dos kedua, manakala 23,238,874 atay 98.8 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Setakat semalam, sebanyak 47,612 dos vaksin yang diberikan melibatkan 35,398 individu menerima dos kedua, 4,635 dos penggalak dan 7,579 dos pertama menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 69,742,922.

Menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, terdapat 12 kematian akibat wabak COVID-19 dilaporkan semalam dengan Perak merekodkan jumlah tertinggi iaitu lima kes diikuti Johor dengan tiga kes. Tambahan pula, di Kedah, Melaka, Pahang dan Putrajaya masing-masing mencatatkan satu kes.

Sumber: BERNAMA