Lailatul Qadar Merupakan Satu Anugerah?

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Alhamdulillah, kini kita sudah berada di pertengahan Ramadan dan kita menuju ke penghujung Ramadan yang makin kita tahu bahawa wujudnya kelebihan antaranya anugerah Allah S.W.T iaitu Lailatul Qadar. Lailatul Qadar ini telah disebutkan oleh Allah S.W.T di dalam al-Quran mengenai kelebihannya yang lebih baik daripada 1,000 bulan. 

Ia berdasarkan firman Allah S.W.T di dalam Surah Al-Qadr, ayat 1-3 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) pada Malam al-Qadar, Dan adakah engkau mengetahui akan kebesaran Malam al-Qadar itu? Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan.” 

Sibukkan Diri Dengan Ibadah

Ini kerana kita semua sudah tahu bahawa bulan yang mulia ini iaitu Ramadan merupakan bulan yang penuh kelebihan yang dinanti-nantikan oleh kita semua. Namun, Allah anugerahkan lagi dengan hanya satu malam iaitu Lailatul Qadar bagi mendapat ganjaran melebihi 1,000 bulan dan ianya berada di penghujung Ramadan.

Dalam Hadis Nabi S.A.W, daripada Jabir bin Samurah R.A, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Carilah malam al-Qadar pada sepuluh malam terakhir pada malam yang ganjil.” (Riwayat Ahmad, No. 85)

Jika dilihat mengenai kisah Sirah Nabi, Rasulullah S.A.W sendiri apabila berada di pengakhir dan penghujung Ramadan, Baginda memperbanyakkan lagi ibadah-ibadah untuk mencari kelebihan yang Allah S.W.T anugerahkan. Oleh itu, ini sepatutnya yang diambil oleh kita umat Islam yang memahami kelebihan ataupun anugerah Allah iaitu Lailatul Qadar yang telah diberikan kepada kita.

Di samping itu, kebanyakan umat Islam hari ini menyibukkan diri dengan suasana untuk menyambut Aidilfitri. Seperti yang kita biasa lihat, di malam-malam akhir Ramadan, saf di masjid dan surau semakin berkurangan dan tidak seperti di awal Ramadan.

Apa Tindakan Kita?

Pasti ada yang tertanya, apakah yang perlu kita lakukan untuk mendapatkan kelebihan malam Lailatul Qadar? Marilah sama-sama kita renungi sebuah kisah iaitu seorang sahabat Nabi S.A.W bertanya kepada Baginda mengenai apakah amalan yang besar untuk menghadapi Lailatul Qadar? Jawab Baginda, iaitu memperbanyakkan berdoa:

“Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan Maha Penyayang, yang suka dan cintakan kepada keampunan, ampunilah aku.”

Mohon Keampunan Allah S.W.T

Walaupun doa ini sangat pendek dan ringkas, akan tetapi ia sangat besar maknanya iaitu mendapat keampunan Allah. Jadi, amat rugilah jika kita keluar dari bulan Ramadan tanpa mendapat keampunan Allah S.W.T. Mungkin sebahagian daripada kita menganggap keampunan daripada Allah S.W.T adalah satu perkara biasa sedangkan ia merupakan sesuatu yang sangat besar.

Ini dikatakan kerana pengampunan Allah akan menyebabkan kita bersih daripada dosa dan kita akan bertemu dengan Allah dalam keadaan bersih. Jadi, banyakkanlah kita membaca doa tersebut terutamanya pada 10 malam akhir Ramadan di samping kita melakukan amalan-amalan yang lain. Mudah-mudahan kita mendapat Lailatul Qadar kerana kemungkinan Lailatul Qadar yang kita dapat ini adalah yang terakhir buat kita. Wallahu’alam.

Sumber: Ustaz Md Salleh Said (HARAKAHDAILY)