Kelantan Sumbang Kuih Raya kepada 11,000 Anggota Keselamatan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan menyumbang kuih raya kepada 11,000 anggota pasukan keselamatan sebagai menghargai jasa anggota yang sentiasa bersedia menjalankan tugas bagi memastikan keselamatan rakyat negeri ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, berkata sebanyak RM300,000 diperuntukkan untuk pemberian sumbangan berkenaan.

“Tanpa mengira masa termasuk Ramadan dan Aidilfitri, mereka ini sentiasa bertugas demi keamanan negara.

“Kita memberi sumbangan kuih raya ini kepada semua petugas keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Kuih Raya Aidilfitri daripada Kerajaan Negeri Kelantan Kepada Pasukan Keselamatan Tahun 1443H/2022 di Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Datuk Abdullah Ya’kub; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Tuan Zainal Abidin Tuan Yusof dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, sumbangan itu menunjukkan kebersamaan dan keprihatinan kerajaan negeri kepada petugas keselamatan.

“Walaupun ia (sumbangan) tidak banyak, tetapi penghargaan itu paling penting kepada pasukan keselamatan.

“Kita harap mereka sabar dan tabah untuk menyambut Aidilfitri di perbatasan,” katanya.

Sementara itu, Shafien yang mewakili petugas keselamatan mengucapkan terima kasih dan menghargai sumbangan itu.

“Sumbangan kuih raya ini menunjukkan bahawa kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan kepada pasukan keselamatan yang bertugas menjaga keselamatan dan keamanan negara,” katanya.

Sumber: BERITA HARIAN