Asyik Rasa Diri Sendiri Saja Betul. Sedarlah Wahai Hati, Ego Tak Ke Mana!

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Sombong atau ego merupakan salah satu sifat mazmumah yang perlu elakkan supaya sifat sebegini tidak wujud dalam diri setiap orang. Ego bermaksud tentang diri sendiri, merasakan dirinya mempunyai segala-galanya dan memiliki kelebihan yang sangat hebat sehingga lupa kepada Allah SWT. 

Melihat daripada sudut positif, ego yang tidak berlebih-lebihan boleh meningkatkan percaya diri. Tetapi jika ia melampau dan tidak kena pada tempatnya ia akan memudaratkan diri. Tanpa kita sedari, sifat keangkuhan dalam diri seseorang boleh memakan dirinya sendiri kerana dia sentiasa merasakan dirinya adalah benar dan tidak boleh menerima sebarang teguran daripada orang lain.

Jadi, dalam Islam melarang untuk kita bersifat sombong dan angkuh. Ini kerana di dalam al-Quran juga ada menyebut bahawa Allah tidak suka pada orang yang bersikap angkuh yang berada di muka bumi ini. Firman Allah Surah Luqman ayat 18 yang bermaksud: 

“Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong, takbur, lagi membanggakan diri.”

Antara contoh yang paling jelas dapat kita lihat adalah sifat sombong dan angkuh pada iblis yang enggan sujud pada Nabi Adam kerana iblis merasakan dirinya lebih mulia berbanding Nabi Adam. 

Iblis bangga kerana dia diciptakan daripada api sedangkan Nabi Adam dicipta daripada tanah. Hal ini mengundang kemurkaan Allah pada iblis dan akhirnya Iblis dihalau dari syurga.

Sifat sombong, angkuh atau ego ini selalu merasakan diri mereka mempunyai kelebihan, keistimewaan dan kehebatan yang orang lain tiada. Bahkan ia adalah sifat batin yang sangat jahat.

Selain itu, apabila wujud rasa angkuh dalam diri seseorang, dia tidak boleh lihat orang lain lebih baik daripada dirinya sehingga wujud perasaan tercabar dengan orang lain. Mereka sentiasa berusaha mengatasi orang lain sehingga tidak sedar adakalanya, cuba mencari kelemahan orang lain untuk menampakkan sedikit keburukan pada diri orang lain.

Kesannya, sifat sombong ini menjadi punca penyakit-penyakit hati seperti pendendam, pemarah, dengki dan lain-lain. Oleh itu, terdapat cara-cara untuk kita merendahkan sifat sombong tersebut antaranya:

1. Jadi Pendengar Yang Baik

Seorang pendengar dapat menambah ilmu dari pengalaman orang lain, oleh itu tidak perlulah bersikap ego dengan ilmu yang kita ada kerana ilmu itu luas dan ianya milik Allah.

2. Sentiasa Merendah Diri Atas Kelebihan Yang Kita Ada

Islam amat menganjurkan kita untuk bersifat tawaduk. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah mewahyukan kepadaku agar kamu bersifat tawaduk sehingga tiada yang bersikap bongkak terhadap orang lainnya dan tidak menganiaya orang lain.” (Hadis Riwayat Abu Daud 4895)

Kelebihan yang Allah berikan pada kita semuanya hanya pinjaman dari-Nya. Jika kita merasa kita lagi hebat berbanding orang lain, ketahuilah Allah Maha Hebat daripada segala yang diciptakan-Nya.

3. Berhenti Membandingkan

Apabila kita membandingkan diri dengan orang lain, akan timbul perasaan hasad dengki lebih-lebih lagi jika orang tersebut mempunyai sesuatu yang kita tidak ada. Didiklah diri untuk sentiasa bersyukur atas sesuatu yang Allah kurniakan supaya sikap ego tidak wujud pada diri kita.

4. Bijak Dalam Mengawal Emosi

Antara cara untuk merendahkan ego adalah mengawal emosi dengan sebaiknya. Emosi yang tidak terkawal bermula dari sikap ego yang berpanjangan, akan muncul sikap-sikap buruk yang lain seperti pemarah dan sebagainya. Kawal emosi diri dengan cara yang diajarkan Islam sebagaimana sabda Rasulullah:

Maksudnya: “Sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan syaitan diciptakan daripada api neraka dan api akan dipadam dengan air. Maka, jika salah seorang daripada kamu marah hendaklah ia berwuduk.” (Hadis Riwayat Abu Daud 4784)

Oleh itu, marilah sama-sama perbaiki diri kita ke arah yang lebih baik sementara kita masih berada di bulan yang mulia ini iaitu bulan Ramadan. Jadi, hindarkan diri dari sifat-sifat buruk kepada Allah dan manusia supaya kita menjadi hamba yang disukai-Nya dunia dan akhirat. Perbanyakkan amal ibadat serta berdoa pada Allah agar kita diberikan akhlak yang baik seperti sabda Rasulullah yang bermafhum:

“Ya Allah, tunjuklah aku kepada amal yang terbaik dan akhlak yang terbaik, kerana tiada yang dapat memberi petunjuk kepada yang terbaik selain Engkau. Dan peliharalah aku dari perbuatan buruk dan akhlak yang buruk, kerana tiada yang dapat melindungi daripadanya melainkan Engkau.” (Hadis Riwayat Nasai 896)

Sumber: MSTAR