Rezeki Syawal Bagi 709 Bekas Pekerja Perwaja Steel

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

CHUKAI – Sambutan Aidilfitri tahun ini lebih bermakna buat 709 bekas pekerja Perwaja Steel Sdn Bhd apabila menerima pampasan selepas ditamatkan perkhidmatan pada November 2014.

Salah seorang penerima yang juga bekas penyelia stor, A Ghani A Ismail, 62, melahirkan rasa syukur apabila menerima pampasan selepas lebih tujuh tahun menanti.

Katanya, perjuangannya bersama bekas pekerja yang lain dalam mendapatkan hak mereka selepas diberhentikan pada 2014 akhirnya membuahkan hasil.

“Memang lega dan gembira sebab akhirnya kami dapat hak kami dan saya anggap ini rezeki Syawal yang bakal disambut tidak lama lagi,” katanya yang 30 tahun berkhidmat di kilang berkenaan.

Perasan syukur turut dizahirkan Mohd Ruhaizi Mustaffa, 40, yang lega dengan pampasan yang diterimanya.

“Walaupun saya mendapat pekerjaan lain selepas kehilangan sumber pendapatan pampasan itu hak kami sebagai pekerja.

“Saya anggap ini rezeki kami apatah lagi kita berada dalam bulan Ramadan dan Aidilfitri

“Terima kasih kepada semua pihak yang membantu dan memberi sokongan kepada kami dalam mendapatkan hak kami,” katanya.

Majlis penyampaian pampasan itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam Majlis Penyampaian Pampasan Bekas Pekerja Perwaja Steel Sdn Bhd di Dewan Pejabat UMNO Bahagian Kemaman di sini hari ini.

Terdahulu, Ismail Sabri turut menzahirkan ucapan tahniah kepada semua pihak yang membantu memperjuangkan hak bekas pekerja bagi memastikan mereka mendapat pembelaan sewajarnya.

“Hari ini, semua 709 bekas pekerja Perwaja Steel Sdn Bhd akan mendapat pampasan antara RM3,000 hingga RM21,000 setelah mereka ditamatkan perkhidmatan pada November 2014.

“Setelah lebih tujuh tahun kes menuntut hak mereka dibicarakan di mahkamah akhirnya diselesaikan dengan pemberian pampasan secara keseluruhan sebanyak RM8.645 juta.

“Saya percaya ini adalah hadiah untuk sambutan Aidilfitri yang akan disambut pada 3 Mei ini,” katanya.

Untuk rekod, Perwaja yang ditubuhkan di bawah Dasar Perindustrian Berat Negara pada 1982 dilanda pelbagai masalah termasuk masalah kewangan sehingga operasinya terpaksa ditutup pada November 2014.

Sumber: BERITA HARIAN