Sukan SEA: Pemain B-23 Malaysia bukan ‘Kaleng-Kaleng’

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

SKUAD Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan memiliki potensi untuk menamatkan penantian lebih sedekad, bagi meraih pingat emas acara bola sepak lelaki Sukan SEA di Hanoi, Vietnam, bulan hadapan.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu percaya, pasukan negara mempunyai ramai pilihan pemain yang mampu untuk membawa pulang kejayaan.

“Walaupun persiapan pasukan terlewat sikit, tetapi kemampuan para pemain itu saya fikir kita bukan tahap ‘kaleng-kaleng’ (sembarangan). Kita satu pasukan yang (masih) digeruni di peringkat Asia Tenggara.

“Jadi saya amat yakin kita akan berikan saingan yang paling baik,” katanya pada sidang media Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Hanoi di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, pada Rabu

Pada masa sama, Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Hanoi Datuk Nur Azmi Ahmad berharap, dapat melihat pasukan negara di bawah bimbingan Ketua Jurulatih Brad Maloney mencapai keputusan cemerlang di Vietnam, kerana bola sepak antara sukan termasyhur di negara ini.

“Kalau boleh kita dapat pingat dalam bola sepak, kerana ia adalah satu sukan yang orang katakan melengkapkan Sukan SEA dan lengkaplah (pencapaian) kontinjen Malaysia, apabila ada sebutir pingat daripada bola sepak,” katanya.

Sebelum ini, Maloney memaklumkan, tiada sasaran spesifik diletakkan pada pasukannya, namun memberi jaminan akan membentuk skuad terbaik yang berupaya memberi tentangan sengit.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas acara bola sepak lelaki Sukan SEA pada edisi 2011 di Indonesia sewaktu dibimbing Datuk Ong Kim Swee.

Sumber: SINAR HARIAN