Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia Mulai Bulan Ini

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PASIR MAS – Projek perintis Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) membabitkan 80 lokaliti akan bermula pertengahan bulan ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata projek berkenaan membabitkan 5,000 ketua isi rumah (KIR).

Katanya, setakat ini beliau sudah melawat dan mengadakan perbincangan dengan KIR yang terbabit sebelum memutuskan apa yang mereka ingin usahakan bagi menjana pendapatan.

“Sebagai contoh semalam saya melawat Tuaran, Sabah, ada yang mahu mengusahakan madu kelulut dan kita bersetuju memandangkan ia tidak membabitkan kos yang besar.

“Tujuan kita turun padang bagi melihat sendiri apa yang perlu dilakukan dan bersesuaian dengan lokasi masing-masing. Mungkin kita cadangkan benda lain, namun penduduk pula tidak berminat dan mahu melakukan perkara lain,” katanya pada sidang media di Kampung Jejawi, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan dengan 12 KIR di Kampung Jejawi yang terpilih dalam Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia.

Mustapa berkata, program berkenaan mengambil masa selama tiga tahun sehingga akhir 2025 membabitkan keseluruhan 1,000 lokaliti di seluruh negara.

“Untuk tahun pertama ini, ia akan membabitkan 240 lokaliti dan kita berharap ianya berjalan lancar dengan mendapat kerjasama daripada KIR yang terbabit dalam program itu.

“Banyak yang kita cadangkan kepada KIR yang terbabit antaranya bidang jahitan, tanaman, pembuatan kuih muih dan ternakan yang akan mengikut kesesuaian lokaliti masing-masing. Peserta yang terbabit akan dipantau secara berterusan.

“Perlu diingat, ini adalah program ekonomi untuk meningkatkan pendapatan KIR, bukannya program kebajikan. Program kebajikan itu adalah tugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya yang hampir 200,000 KIR yang tersenarai dalam golongan miskin tegar.

Beliau berkata, menerusi program berkenaan beliau menjangkakan pada akhir 2025, tiada lagi rakyat di Malaysia termasuk dalam golongan miskin tegar.

Katanya, mereka harus berdikari selepas kerajaan memberi bantuan yang mampu menjana pendapatan dalam tempoh berkenaan.

“Inilah tujuan kita, program ini sangat penting, untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi,” katanya.

Sumber: BERITA HARIAN