Wanita Maut, 2 Anak Cedera Parah Kereta Rempuh Pokok

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PASIR MAS – Seorang wanita terbunuh manakala dua anaknya cedera parah apabila kereta yang mereka naiki terbabas dan merempuh pokok di Kampung Perangkap, Jalan Tendong-Bunut Susu, di sini, pagi ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh, berkata kejadian jam 8.20 pagi itu berlaku dipercayai kerana mangsa, Rosmawati Zainal Abidin, 44, terlelap dan kereta Honda Civic yang dipandu hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan.

“Turut ada dalam kenderaan adalah dua anaknya, Nur Farah Athirah Mohd Faizal, 21, dan Nor Farah Syatirah, 19, yang cedera parah seperti patah tangan dan paha.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Pasir Mas (HPM) untuk bedah siasat dan mendapati mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

“Dua anaknya yang cedera parah dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, Kota Bharu, untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Shuhaimi turut menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati ketika memandu terutama di musim perayaan selain disarankan untuk berhenti berehat seketika jika mengantuk bagi mengelak insiden yang tidak diingini.

Sumber: BERITA HARIAN