Misi Calar Ego Indonesia

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Lumpur – Pasukan menembak negara mahu kehadiran mereka ke temasya Sukan Sea Hanoi di Vietnam berbaloi apabila memasang impian untuk membidik kilauan emas buat Malaysia.

Pengurus pasukan Hayati Shamsuri berkata, skuad negara sudah pastinya akan menerima tentangan sengit dari Indonesia yang sedia maklum mendominasi acara berkenaan.

Beliau berkata, ketika ini persediaan yang dilakukan atlet negara amat baik dan optimis mampu menceriakan kem menembak Malaysia menerusi satu emas dan empat gangsa.

“Kita mampu mencapai sasaran terbabit berdasarkan kepada prestasi terkini atlet. Cuma perlu berwaspada dengan pasukan lawan terutama dari Indonesia yang pastinya akan ada persaingan sengit untuk merebut pingat emas,” katanya.

Sementara itu, sandaran emas negara sudah tentunya diletakkan di bahu penembak berpengalaman, Johnathan Wong Guanjie yang bakal membuat penampilan keenam pada temasya Sukan Sea Hanoi.

Olimpian di Rio de Janeiro 2016 itu berkata, setiap temasya Sukan Sea boleh dikatakan berbeza dan dia perlu mengikut situasi semasa termasuk peraturan permainan yang juga boleh berubah dari semasa ke semasa.

Oleh itu katanya, paling penting pantas menyesuaikan diri dengan keadaan semasa dan itu adalah yang lebih baik.

“Kalau nak kata mengenai pengalaman, saya percaya yang pesaing di Sukan Sea pun mempunyai banyak pengalaman juga.

“Namun apa yang penting adalah bagaimana kita mempersiapkan diri untuk menghadapi cabaran berkenaan,” katanya.

Pemenang pingat emas di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 itu dijadual menyertai empat acara di Hanoi iaitu air pistol lelaki individu, air pistol berpasukan lelaki, air pistol berpasukan campuran dan 50m pistol lelaki.

Kem menembak kali ini disertai 22 atlet dan lima pegawai dengan sasaran diletakkan, meraih satu pingat emas dan empat gangsa.

Pada edisi 2019 di Filipina, skuad menembak meraih dua perak dan empat gangsa dan menamatkan kempen saingan di tangga keempat keseluruhan daripada enam negara.

Sumber: HARIAN METRO