PETALING JAYA – Bukan satu tetapi Malaysia mahu menyambar kedua-dua pingat emas pertama yang ditawarkan pada edisi ke-31 Sukan SEA di Hanoi hari ini apabila terjun memulakan misi menyapu bersih kesemua emas yang dipertandingkan.
Biarpun temasya hanya akan membuka tirai secara rasmi Khamis depan, namun kilauan emas dari kolam renang di Pusat Sukan Air My Dinh akan menjadi detik mengujakan buat kontinjen Malaysia.
Lebih istimewa, pembawa Jalur Gemilang dalam upacara pembukaan, Nur Dhabitah Sabri antara calon utama untuk menjadi pemenang pingat emas sulung Sukan SEA Vietnam.
Penerjun Olimpik itu akan turun dalam acara 1 meter (m) papan anjal wanita bersama Kimberly Bong.
Emas kedua negara disasarkan dalam acara 3m papan anjal seirama lelaki menerusi gandingan berpengalaman Ooi Tze Liang dan Chew Yi Wei.
“Esok (hari ini) ada dua acara dipertandingkan, dan kedua-duanya menjadi sandaran emas Malaysia. Tekanan pasti ada, tetapi saya harap penerjun dapat melakukan yang terbaik.
“Saya harap mereka dapat menunjukkan prestasi seperti latihan. Jangan terlalu tertekan dan peraga terjunan terbaik.
“Hari pertama kita nanti harap menjadi permulaan yang baik buat keseluruhan kontinjen,” kata pengurus skuad terjun Malaysia, Datuk Leong Mun Yee.
Malaysia membariskan skuad terkuat pada temasya kali ini, diwakili 11 penerjun yang terdiri daripada tujuh lelaki dan lima wanita.
Selain Nur Dhabitah, dua lagi atlet Olimpik, Datuk Pandelela Rinong dan Wendy Ng memperkuatkan cabaran Malaysia untuk mengulangi kejayaan menyapu bersih emas di Manila 2019.
Sumber: UTUSAN ONLINE