Atletico Tewaskan Real Selepas Enam Tahun

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Madrid – Atletico Madrid memenangi perlawanan derby La Liga buat kali pertama ke atas Real Madrid dalam tempoh enam tahun selepas menang 1-0 untuk terus mengukuhkan kedudukan buat skuad Diego Simeone melayakkan diri dalam saingan Liga Juara-Juara.

Penalti pada babak pertama Yannick Carrasco di Wanda Metropolitano sudah cukup buat Atletico menumbangkan Real Madrid yang dilihat keletihan selepas mempamerkan kebangkitan luar biasa dalam saingan Liga Juara-Juara menentang Manchester City Rabu lalu.

Dengan Karim Benzema, Luka Modric dan Thibaut Courtois direhatkan buat pasukan yang sudahpun dinobatkan sebagai juara liga, Atletico mengambil kesempatan itu untuk merangkul kemenangan biarpun mereka terlepas beberapa peluang untuk kemenangan yang lebih selesa.

Atletico kini di kedudukan keempat liga, enam mata di hadapan Real Betis yang menghuni tempat kelima dan masih mempunyai baki tiga perlawanan.

Berdasarkan rekod pertemuan dengan Betis, ia lebih memihak kepada mereka dan peluang Atletico menamatkan saingan di empat teras lebih terjamin jika Betis gagal menang di tempat lawan bertemu Valencia Selasa ini.

Jika Betis menewaskan Valencia, Atletico perlu memastikan kemenangan ke atas Elche.

“Amat penting untuk layak dan kami perlu menang satu dari tiga perlawanan itu jika ingin ke Liga Juara-Juara,” kata kapten Atletico Koke.

“Jika kami bermain seperti ini, kami akan sampai ke sana.”

Atletico tidak pernah menewaskan Real Madrid dalam saingan La Liga sejak 2016 dan tidak juga di laman sendiri sejak 2015 manakala lapan perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan juga tidak kemenangan.

Sumber: HARIAN METRO