KOTA BHARU – Polis menahan seorang lelaki tempatan yng disyaki tekong darat bersama 20 pendatang tanpa izin warga Myanmar di Kampung Banggol Chica, Pasir Mas.
Menurut Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Mohd Nasaruddin M Nasir, kegiatan lelaki berusia 21 tahun itu dikesan selepas dua anggota Unit Kereta Peronda (MPV) yang melakukan rondaan terserempak dengan suspek yang memandu van dalam keadaan mencurigakan di Kampung Lubuk Kawah, Pasir Mas pada 6.15 pagi semalam.
Beliau berkata, polis kemudiannya mengarahkan pemandu van untuk berhenti, namun sebaliknya berkelakuan agresif dengan memecut laju dan cuba melarikan diri.
“Selepas mengejar sejauh tujuh kilometer,van tersebut akhirnya berhenti di tepi jalan Kampung Chica, Pasir Mas.”
“Hasil pemeriksaan di dalam van, polis menemukan 20 warga Myanmar yang disyaki pendatang tanpa izin iaitu 17 lelaki dan tiga orang wanita berusia 17 hingg 40 tahun. Kesemua mereka negara ini secara tidak sah melalui pangkalan haram di sempadan Malaysia-Thailand,” tambah beliau.
Mohd Nasaruddin berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Antipisom) 2007 dan seksyen 6 (1) (c) Akt Imigresen 1963.
Di samping itu, katanya, buat masa ini suspek ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langka-Langkah Khas) 2012 (SOSMA). Kesemua warga Myanmar yang ditahan akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan seterusnya.
Sumber: BERNAMA