MU Potong Gaji Pemain Gara-Gara Gagal ke Liga Juara-Juara

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

BRIGHTON, England – Kegagalan Manchester United layak ke Liga Juara-Juara bakal menyaksikan pemain mereka dipotong gaji sehingga 25 peratus.

Red Devils tidak boleh lagi menamatkan saingan pada kelompok empat terbaik Liga Perdana Inggeris ekoran kekalahan 4-0 di Brighton semalam.

Kontrak kelab menyatakan, gaji pemain akan dipotong sehingga suku jika tidak mendapat tempat dalam kejohanan kelab elit Eropah itu.

Ia menyaksikan Cristiano Ronaldo berdepan pengura­ngan gaji mingguan daripada 385,000 pound (RM2.07 juta) kepada sekitar 288,000 pound (RM1.55 juta) jika dia kekal di Old Trafford – gaji terendah diperoleh pemain berusia 37 tahun itu dalam beberapa tahun.

Ronaldo telah pun me­nerima pemotongan gaji yang besar daripada 500,000 pound (RM2.69 juta) seminggu yang diterima di Juventus untuk melengkapkan kepulangan ke Old Trafford.

David de Gea juga akan me­nyaksikan gajinya dipotong da­ripada 375,000 pound (RM2.02 juta) seminggu kepada sekitar 281,000 (RM1.5 juta) pound.

Sementara itu, pengendali sementara United, Ralf Rangnick memohon maaf atas persembahan buruk Red Devils di Stadium Amex dengan menyifatkan ia sebagai ‘satu penghinaan dan memalukan’.

United ketinggalan selepas hanya 15 minit hasil rembatan jarak jauh Moises Caicedo, namun mereka mengalami kehancuran penuh pada babak kedua dengan melepaskan tiga gol dalam masa 11 minit menerusi Marc Cucurella, Pascal Gross dan Leandro Trossard.

“Ia aksi mengerikan. Dari minit pertama hingga minit terakhir ia tidak mencukupi. Kami hanya boleh memohon maaf atas persembahan ini dan kekalahan yang memalukan.

“Saya tidak fikir pemain mengabaikan perancangan tetapi kami tidak dapat menghalang lawan,” katanya.

Sumber: UTUSAN ONLINE