Berlin – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menegaskan bahawa beliau bersedia untuk bertarung merebut lebih banyak lagi trofi dengan City pada masa hadapan dan mengakui perpindahan penyerang utama Borussia Dortmund, Erling Haaland ke kelab itu mampu untuk membawa kelab itu ke sesuatu peringkat lebih tinggi.
Klopp yang mengikat perjanjian dengan Liverpool sehingga 2026 sedar City tidak akan berhenti berusaha untuk menjadi yang terbaik.
“Saya mengikat kontrak baru (sehingga 2026) kerana mengetahui City tidak akan berhenti membangun,” kata Klopp.
“Ia bukan City yang menjadi penentu jika kami boleh gembira atau tidak. Ia adalah mengenai diri kami dan apa yang kami boleh lakukan untuk gembira.
“Jika Haaland berpindah ke sana (City) itu tidak akan melemahkan mereka. Sudah tentu tidak. Saya tahu pada masa ini orang lain bercakap tentang wang tapi perpindahan itu akan meletakkan sesuatu pada tahap yang baru,” katanya.
Penyerang utama Borussia Dortmund, Haaland hampir memeterai perjanjian perpindahan ke Manchester City dengan beberapa media Jerman melaporkan ia sebagai perpindahan yang paling menguntungkan.
Haaland menjadi prospek pemain paling hangat musim ini dengan pemain Norway berusia 21 tahun itu sudahpun menjaringkan 61 gol dalam 66 perlawanan liga untuk kelab sejak menyertai mereka pada awal 2020.
Beberapa kelab terkemuka termasuk Real Madrid, Paris St Germain dan City antara yang dikaitkan dengan perpindahan pemain itu.
Sky Germany yang memegang hak ke atas Bundesliga pada Isnin lalu melaporkan bahawa pemain itu sudah memaklumkan kepada kelab tentang hasratnya untuk bersama Manchester City dan sudah berhubung dengan kelab berkenaan mengenai klausa perpindahan.
Beberapa media lain termasuk akhbar Bild dan majalah Kicker, memetik daripada sumber berkata perjanjian akan dimuktamadkan dalam beberapa hari lagi.
Dortmund dikatakan berminat untuk mendapatkan penyerang Salzburg, Karim Adeyemi bagi menggantikan tempat yang akan ditinggalkan Haaland.
Sumber: HARIAN METRO