Antara doa yang paling mustajab adalah doa dari ibu dan bapa. Taraf mereka sebagai orang tua sangat mulia sehinggakan Baginda SAW menyebutkan hadis tentang doa yang mustajab dari mereka.
Dari Anas bin Malik RA, Nabi SAW bersabda:
Maksud: “Tidak ada doa yang tertolak, iaitu doa orang tua, orang yang berpuasa dan doa seorang musafir.” (Hadis Riwayat Al-Baihaqi, No. 1907)
Disebabkan itu, sebagai anak, mintalah sebanyak mana doa daripada ibu bapa anda; sama ada untuk dimurahkan rezeki, dipertemukan jodoh yang baik dan dipermudahkan urusan dunia dan akhirat.
Begitu juga tugas anda sebagai orang tua, jangan kedekut untuk mendoakan kesejahteraan ahli keluarga anda dan diri sendiri kerana doa daripada anda boleh membantu kehidupan mereka juga, sama ada di dunia mahupun di akhirat.
Walau bagaimanapun, bagaimana pula dengan doa yang tidak baik yang diucapkan oleh ibu bapa? Adakah ia akan dimakbulkan?
Kadang-kadang perkataan yang buruk-buruk itu terjadi tanpa sedar sama ada ketika si ibu sedang berada dalam keadaan amat marah akan anaknya yang membuat kesilapan atau ada juga situasi yang dilihat apabila orang tuanya memang jenis yang gemar memburuk-burukkan anak sendiri.
1. Doa Yang Diucapkan Untuk Memberi Pengajaran
Dalam situasi ini, pertama kita perlu melihat mengapa orang tua mendoakan keburukan seperti itu kepada anaknya. Adakah untuk memberi pengajaran dan kesedaran buat mereka?
Seperti mana dalam sebuah kisah yang pernah diceritakan mengenai Juraij yang telah didoakan keburukan oleh ibunya. Mengapa? Sebabnya adalah apabila Juraij tidak membalas sahutan ibunya.
Sedangkan waktu itu diceritakan bahawa Juraij sedang menunaikan solat sunat. Setiap kali ibunya datang dan memanggilnya, Juraij mengendahkannya. Ibunya berkecil hati dengan perbuatan tersebut lalu meminta kepada Allah agar ditimpakan keburukan bagi memberi pengajaran kepada anaknya. Tidak lama kemudian, doa itu dimakbulkan dan pada waktu itu Juraij menyedari bahawa ia adalah balasan atas perbuatan buruknya kepada ibunya.
Kisah ini ada diceritakan dalam sebuah hadis sahih daripada riwayat Muslim (No. 2550).
Sebahagian ulama juga berpandangan bahawa jika tujuannya untuk memberi pengajaran kepada anak-anak tersebut di atas kesilapan yang dilakukan, maka boleh. Walau bagaimanapun, kita perlu melihat kepada ‘kuasa’ doa ibu bapa kepada anaknya yang sungguh mustajab.
Jadi, mengapa ‘kuasa’ doa itu tidak digunakan ke arah kebaikan dengan mendoakan yang baik-baik kepada anak anda. Itu adalah lebih elok berbanding dengan mendoakan keburukan buat mereka. Hal ini kerana, bagi penulis, setiap manusia boleh berubah dan salah satu kuncinya adalah daripada doa orang-orang sekeliling terutama orang tuanya.
Bahkan, sebahagian ulama berpegang dengan hadis daripada Baginda SAW yang melarang orang tuanya untuk berdoa perkara buruk terhadap cahaya mata mereka yang bersabda:
Mafhum: “Jangan kalian mendoakan keburukan untuk diri kalian atau anak-anak kalian atau harta kalian. Jangan sampai kalian menepati suatu waktu yang pada waktu itu Allah SWT diminta sesuatu lantas Dia mengabulkan doa kalian itu.” (Hadis Riwayat Abu Daud, No. 1532)
Sebagaimana pandangan daripada Syeikh Ibnu ‘Utsaimin RA juga yang menyebut bahawa doa-doa keburukan sama ada daripada ibu kepada anak atau kepada sesama insan lain pun adalah dilarang.
2. Doa Yang Diucapkan Dengan Tidak Sengaja
Kadang-kadang, kita tidak sedar apa yang diucapkan terutamanya ketika berada dalam keadaan marah atau dalam emosi yang kurang stabil.
Jadi, apabila dihamburkan keburukan kepada orang sekeliling dalam keadaan tidak sedar, ulama berpendapat bahawa ia tidak akan dikabulkan. Hal ini kerana mereka melihat kepada kalam Allah yang menyebut:
Mafhum: “Dan kalau Allah menyegerakan bagi manusia azab sengsara yang mereka minta disegerakan, sebagaimana mereka minta disegerakan nikmat kesenangan, nescaya binasalah mereka dan selesailah azab mereka. Oleh itu, (Kami tidak akan menyegerakan azab yang dimintanya), Kami biarkan orang-orang yang tidak menaruh ingatan menemui Kami itu meraba-raba dalam kesesatan.” (Surah Yunus, 10:11)
Imam Ibnu Katsir menyebut mengenai tafsiran surah ini, iaitu yang bersabda bermaksud:
“Allah memberitahu mengenai kasih sayang dan kelembutanNya kepada hambaNya. Bahawa Allah tidak akan mengabulkan doa mereka jika mereka berdoa buruk untuk diri, harta atau anak-anak mereka saat keadaan mereka sedang marah. Allah mengetahui bahawa doa itu diucapkan tanpa sengaja. Oleh itu, ia tidak akan dikabulkan sebagai bentuk kelembutan dan kasih sayang.” (Tafsir Ibnu Katsir, 4/251)
Di sini dapat difahami bahawa jika doa yang diucapkan secara tidak sengaja terutamanya mengenai keburukan seseorang kepada sekeliling dan juga ibu bapa terhadap anaknya, maka Allah tidak akan mengabulkan doa tersebut.
Hal ini kerana Allah amat mengetahui apa yang ada di hati setiap manusia. Jadi, apabila anda secara tidak sengaja mendoakan anak-anak tentang keburukan, segeralah beristighfar dan memohon ampun kepada Allah.
Dalam masa yang sama, jangan lupa untuk minta maaf juga kepada anak anda untuk membantu membaiki emosi mereka. Hal ini bimbang jika emosi mereka boleh terkesan sejurus mendengar ungkapan buruk dari mulut anda.
Oleh itu, dalam usaha untuk menjadi ibu bapa yang terbaik dan sebagai teladan buat anak-anak anda, cubalah mengeluarkan perkataan yang baik-baik buat anda anda dan sentiasa doakan kebaikan buat mereka.
Kehidupan mereka juga bergantung kepada doa ibu bapa terhadapnya. Elakkan mendoakan keburukan dan jika ada salah dari pihak anak-anak, tegur dan baikilah mereka dengan cara yang terbaik.
Sumber: TZKRH.COM