Pergerakan Keluar Masuk Sempadan Semakin Aktif

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

TUMPAT – Memasuki hari keenam sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan yang dibuka untuk lawatan sosial di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Kubor, semakin dikunjungi orang ramai.

Sudah ada yang menunggu seawal jam 7 pagi di Kaunter Imigresen untuk dicop pasport dan pas sempadan bagi pergerakan keluar masuk dari Malaysia ke Thailand menggunakan perkhidmatan feri yang akan bergerak mengikut kapasati penumpang.

Bagaimanapun ramai juga dalam kalangan pemegang pasport yang terpaksa berpatah balik disebabkan mereka tidak mengisi pas Thailand melalui dalam talian yang perlu diisi dua hari lebih awal sebelum diluluskan.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) negeri Kelantan, Azhar Abd Hamid, berkata walaupun tiga ICQS sudah dibuka sejak 5 Mei lalu, hanya Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor menyaksikan lebih pergerakan keluar masuk.

“Pengembara dinasihat berhubung dengan pihak berkuasa Thai bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan sebarang keperluan dan prosedur operasi standard (SOP) yang berkuat kuasa.”

“Mereka juga perlu memohon insurans tetapi untuk pemegang pasport warga Thailand tidak perlu manakala pemegang pas sempadan pula tidak perlukan insurans, sebaliknya hanya imbas kod bar serta lengkap dua dos vaksin COVID-19,” jelasnya.

Tambah beliau, tinjauan di jeti JKR Feri di sini, mendapati masih tidak ramai rakyat sama ada dari Malaysia atau Thailand yang melakukan pergerakan keluar masuk.

Dengan menaiki feri pada kadar tambang 60 sen sehala, situasi dalam pengangkutan yang sepatutnya digunakan untuk membawa kenderaan hanya memuatkan penumpang antara 10 hingga 15 orang pada satu-satu masa.

Sumber: BERITA HARIAN