Kes HFMD Terengganu Naik Ketara

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA BERANG – Sebanyak 782 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) direkodkan di Terengganu dalam tempoh 1 Januari hingga 7 Mei lalu, peningkatan ketara berbanding hanya 95 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong, berkata kebanyakan kes HFMD dilaporkan di taman asuhan kanak-kanak (TASKA) dan taman didikan kanak-kanak (TADIKA) dengan majoriti yang dijangkiti berusia enam tahun dan ke bawah.

“Namun setakat ini, tiada TASKA atau TADIKA di Terengganu ditutup. Keadaan juga masih terkawal dengan mereka yang dijangkiti tidak boleh hadir ke TASKA atau TADIKA. Yang tidak mengalami wabak berkenaan boleh meneruskan persekolahan seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Program Gerak Gempur Cakna Ubat di Dewan Besar Majlis Daerah Hulu Terengganu, di sini hari ini.

Dr Kasemani berkata, pihaknya akan terus memantau dan mempromosi maklumat, nasihat serta langkah penjagaan bagi membendung penularan penyakit berkenaan.

“Apabila kita melihat kes yang tinggi dengan hasil siasatan yang kita lakukan, kita merasakan masih ada banyak perkara yang perlu diperkukuhkan. Mungkin sebab sudah lama kita tidak bercakap mengenai HFMD, jadi masing-masing macam agak leka.

“Kita mohon kerjasama dua pihak, iaitu TADIKA dan TASKA serta ibu bapa bagi mengelak penularan wabak ini. Ibu bapa kena faham, kalau anak-anak tidak sihat dan bergejala, jangan hantar ke kelas, manakala di pihak TASKA dan TADIKA pula, tidak boleh terima kanak-kanak yang ada gejala.

“Selain itu, kita kena amalkan sanitasi sebelum memulakan kelas dan selepas tamat kelas setiap hari bagi memastikan virus ini tidak berada dalam persekitaran TASKA dan TADIKA,” katanya.

Sumber: TZKRH.COM