Budak Empat Tahun Maut Kemalangan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

MACHANG – Seorang kanak-kanak perempuan maut, manakala ibu serta kakaknya cedera selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 54.1 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Kampung Pek, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Mohamad Rusli Mat berkata, pada kejadian 7.30 malam itu, kanak-kanak perempuan berusia empat tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah yang dialami di badan.

Katanya, siasatan awal mendapati, ketika kejadian, treler yang dipandu lelaki berusia 44 tahun membawa muatan kereta dari arah Kuala Krai menghala ke Kota Bharu.

“Setibanya di lokasi kejadian, pemandu treler itu menekan brek secara perlahan, namun bahagian ‘ekor’ treler menghentam ‘kepala’ treler itu sehingga menyebabkannya terbabas masuk ke laluan bertentangan dan pada ketika itu keadaan hujan serta jalan basah.”

“Dalam masa, sebuah Perodua Bezza yang dipandu seorang wanita berusia 33 tahun dan dinaiki bersama dua anak perempuannya yang berusia empat dan enam tahun, dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Krai, dilanggar dan diheret oleh treler berkenaan ke sebelah kiri jalan.”

“Akibat pertembungan itu, pemandu kereta dan anaknya yang berusia enam tahun mengalami kecederaan, namun seorang lagi anaknya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu treler pula tidak mengalami kecederaan.

“Mangsa yang mengalami kecederaan di hantar ke Hospital Machang untuk mendapatkan rawatan lanjut,” jelasnya.

Beliau berkata, punca kemalangan yang berlaku disebabkan kecuaian pemandu treler yang gagal mengawal kenderaan yang dipandu menyebabkan ia terbabas dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah Perodua Bezza.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber: BERITA HARIAN