Apabila ditatal media sosial, saban hari kita pasti akan melihat perkara-perkara yang tidak ingin dilihat atau diharapkan tidak akan berlaku.
Pergaduhan di media sosial amat rancak berlaku seolah-olah masing-masing sedang mengejar anugerah kemenangan di dalamnya.
Sedangkan, kehidupan ini perlu didasari dengan sikap toleransi dan kedamaian bagi mewujudkan keharmonian, bukan sahaja di alam realiti tetapi yang lebih penting adalah di alam maya.
Mafhum: “Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah An-Nisa, 4:148)
Lisan, bukan sekadar apa yang dituturkan di mulut namun konsepnya lebih meluas dan besar daripada itu.
Apa yang ditulis dan disebarkan juga termasuk dalam perkara lisan. Disebabkan itulah, Islam amat menganjurkan umatnya untuk melatih diri dengan bertutur dan menyampaikan perkara yang baik serta memberi manfaat kepada orang sekeliling.
Jika sesuatu perkara itu boleh mendatangkan perbalahan, seeloknya selidiki terlebih dahulu dan bertanya dengan baik.
Perbuatan terus menghentam atau menuduh dengan hanya melihat kepada bukti daripada sebelah pihak sahaja, itu adalah tidak wajar.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
Maksud: “Sungguh seorang hamba mengucapkan sebuah kalimat yang diredai Allah, suatu kalimat yang dia tidak mempedulikannya (memerhatikannya), namun dengannya Allah mengangkatnya beberapa darjat. Dan sungguh, seorang hamba akan mengucapkan sebuah kalimat yang dimurkai Allah, suatu kalimat yang dia tidak mempedulikannya, namun dengannya Allah melemparkannya ke dalam neraka.” (HR Bukhari, no. 6478)
Jagalah Lisanmu Kerana Ia Sumber Keselamatan
Abu Bakar RA berkata – “Sesungguhnya (lidah) ini boleh menjerumuskan kita ke dalam banyak masalah.” (HR Malik, al-Muwaththa’, 2:988)
Disebabkan itu, ada pelbagai hadis yang ditekankan oleh Baginda SAW mengenai lisan. Jagalah lisan kerana ia adalah salah satu pintu keselamatan, bukan sahaja keselamatan di dunia, bahkan juga akhirat.
Menjaga lisan juga termasuk sebagai pohon yang akan membuahkan kebaikan. Jika baik ucapannya, maka baiklah isi bicaranya. Namun, jika pertuturannya berbaur keburukan, maka kemudaratan yang akan muncul.
Hari ini, manusia lebih banyak berinteraksi melalui tulisan, iaitu di media-media digital sebagai penghubung kepada hubungan setiap insan.
Dengan itu, ruang fitnah makin mudah untuk terbuka. Kemajuan teknologi sudah tidak membataskan kita untuk melakukan apa sahaja.
Justeru, kawallah ia dengan kemampuan anda, dan salah satunya adalah dengan menjaga tutur kata yang ditulis di ruang-ruang ini agar anda mampu menutup lubang-lubang fitnah.
Sumber: TZKRH.COM