Betulkah Syaitan Akan Masuk Ke Dalam Mulut Orang Yang Menguap?

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Antara adab yang ditekankan ketika menguap ialah menutup mulut. Berdasarkan sunnah, ia hendaklah ditutup dengan menggunakan tapak tangan kanan.

Namun, jika menutup menggunakan tangan kiri, ia hendaklah ditutup pada bahagian belakang telapak tangan.

Dari sudut kesihatan, kebaikan menutup mulut ketika menguap ialah untuk mengelakkan pembukaan mulut menjadi terlalu luas.

Apabila menguap, mulut kita akan terbuka yang menyebabkan tulang rahang turun. Proses inilah yang melibatkan kepada sebanyak mungkin udara masuk ke dalam mulut dan penuhkan ruang dalam paru-paru.

Adapun, dalam Islam terdapat beberapa hadis sahih yang menyebut bahawa, menutup mulut ketika menguap adalah untuk mengelakkan syaitan daripada masuk ke dalam mulut.

Maksud: “Apabila seseorang daripada kamu menguap, maka hendaklah ia tutup akan mulutnya dengan tangannya kerana sesungguhnya syaitan akan masuk (ke dalam mulut orang yang menguap itu).” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2995)

Imam Nawawi berkata – “Ulama menyebut bahawa menguap itu perlu ditahan atau perlu ditutup mulutnya dengan tangan supaya syaitan tidak masuk ke dalam mulut. Ia adalah untuk menolak gangguannya ke atas anak Adam dan menghalang syaitan daripada ketawa.” (Kitab Syarah Sahih Muslim)

Ulama menyebut lagi, apabila syaitan telah masuk ke dalam mulut anak Adam, maka mereka akan memainkan peranannya untuk menghasut mereka dengan segala bisikan jahat.

Mafhum: “Sesungguhnya perbuatan berbisik (dengan kejahatan) itu adalah dari (hasutan) syaitan, untuk menjadikan orang-orang yang beriman berdukacita; sedang bisikan itu tidak dapat membahayakan mereka sedikit pun melainkan dengan izin Allah.” (Surah Al-Mujadalah, 58:10)

Disebabkan itu manusia sentiasa perlu mengamalkan adab-adab menguap yang ditekankan dalam Islam serta sentiasa memperbanyakkan zikir dan berdoa agar dilindungi daripada hasutan syaitan ini.

Sumber: TZKRH.COM