Ajar Anak Anda 4 Perkara Ini Sebelum Tidur

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Waktu tidur adalah salah satu waktu yang penting untuk setiap insan kerana ia merupakan salah satu waktu untuk mengecas kembali tenaga yang telah digunakan sepanjang hari.

Buat anda yang mempunyai anak kecil pasti wujud kerisauan jika anak-anak anda tidak mendapatkan tidur yang cukup dan berkualiti.

Kajian menunjukkan, anak yang tidak mendapat tidur yang cukup boleh menyebabkan prestasi kognitifnya rendah termasuklah memori dan daya tumpuannya yang lemah.

Setiap golongan manusia memerlukan waktu tidur yang berbeza-beza. Kanak-kanak sekurang-kurangnya memerlukan 10 jam waktu tidur berbanding dengan golongan dewasa yang memerlukan 7-8 jam sehari.

Tetapi, agak sukar untuk menidurkan kanak-kanak terutamanya jika sifat mereka yang mudah terganggu dengan sekeliling.

Jadi, entri kali ini akan berkongsi beberapa cara efektif sebagai penyelesaian kepada perkara ini:

1.Beri ruang kepada mereka untuk bermain – Semakin kita paksa anak-anak tidur atau menghalangnya dari melakukan aktiviti yang sedang dilakukan, semakin mereka mudah memberontak dan itu akan memakan lebih banyak masa. Adalah lebih baik beri ruang kepada mereka terlebih dahulu.

Beri tempoh masa kepada mereka agar mereka sedar bahawa mereka tidak boleh bermain sepanjang malam. Mereka juga perlu rehat. Kadang-kadang, apabila mereka penat, dengan sendirinya mereka akan mengalah dan pergi ke tempat tidur.

2.Ajar mereka rutin mudah sebelum tidur – Bukan permainan sahaja yang menyeronokkan, tetapi aktiviti sebelum tidur juga perlu dilalui dengan perasaan gembira.

Ajar mereka gosok gigi atau basuh kaki sebelum tidur. Anda juga boleh ajar rutin mudah lain seperti membaca doa atau zikir ringkas agar mereka boleh tidur dengan tenang.

3.Baca kisah menarik – Bacakan kisah-kisah ringkas kepada mereka sebelum tidur. Anda juga boleh gantikan ia dengan alunan zikir atau sesi berkongsi cerita.

“Apa yang mereka lalui hari ini?” Atau “Apa perbuatan baik yang mereka lakukan hari ini?”

Soalan-soalan ini boleh membantu mereka leka. Namun, jangan ditanya soalan-soalan berat pula, bimbang nanti semakin sukar untuk mereka lelapkan mata.

4.Hadkan penggunaan gajet – Jauhkan sebarang gajet dari anak-anak anda. Gajet merupakan salah satu penyumbang terbesar kepada golongan dewasa untuk sukar melelapkan mata, apatah lagi kanak-kanak.

Kawal penggunaan gajet dan hadkan masa untuk mereka bermainnya.

Jadikan waktu tidur anak-anak anda juga sebuah pengalaman dan rutin yang elok untuk diamalkan supaya boleh membantu mereka dapatkan tidur yang berkualiti dan lebih bersemangat untuk melalui hari esok.

Sumber: TZKRH.COM