Peniaga Ayam Dakwa Keliru Dengan Harga Siling

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Kebanyakan peniaga ayam di sini tidak meletakkan tanda harga kerana mendakwa mereka masih keliru dengan harga siling sebenar yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. 

Malah, mereka hanya memaklumkan harga ayam apabila pembeli bertanyakan harga bagi sekilogram barangan keperluan terbabit.

Peniaga, Rogayah Samad, 52, mengakui dia adalah di antara peniaga ayam yang tidak mempamerkan tanda harga, namun mendakwa berbuat demikian disebabkan tidak mendapat maklumat tepat mengenai harga siling ayam yang sebenar.

“Sejak awal Aidilfitri lalu, saya menjual ayam dengan harga RM10.50 sekilogram memandangkan mendapat harga yang mahal daripada pihak pemborong sekaligus menyebabkan saya terpaksa menaikkan sedikit harga ayam untuk mendapatkan untung.”

“Pada masa sama, saya juga difahamkan bekalan ayam turut mengalami kekurangan yang mungkin sedikit sebanyak memberi kesan kepada kenaikan harga ayam pada masa kini,” katanya.

Manakala bagi Rokiah Salleh, 65, pula mendakwa dalam keadaan sekarang harga ayam tidak menentu dan mengalami naik turun harga sehingga menyebabkannya dia sendiri berasa keliru apatah lagi pelanggan.

“Saya berharap agar isu harga ayam dapat segera diselesaikan bagi mengelakkan kekeliruan daripada pelbagai pihak,” tambah beliau.

Sumber: BERITA HARIAN