KUALA TERENGGANU – Jurulatih Terengganu FC ll (TFC ll) Badrul Afzan Razali memuji aksi mantap yang dipamerkan anak buahnya sehingga berjaya menewaskan pasukan Johor Darul Ta’zim ll (JDT ll) dalam saingan Liga Premier di laman sendiri malam tadi.
Badrul Afzan berkata walaupun di atas kertas skuad kendalian Mariano Echeverria memiliki banyak kelebihan terutama di bahagian serangan, semangat juang tinggi para pemain membolehkan pasukannya mengutip tiga mata penuh.
“Tahniah buat pemain saya yang berjuang bermati-matian untuk memastikan The Turtles kembali ke landasan kemenangan selepas kekalahan kepada Kelantan FC tempoh hari.
“Alhamdulillah segala perancangan taktikal berjalan lancar dan dapat diterjemahkan dengan cemerlang oleh pemain kepada bentuk kemenangan,” katanya selepas perlawanan menentang JDT ll di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.
Pada perlawanan itu, TFC ll berjaya menewaskan skuad JDT II yang juga pendahulu Liga Premier dengan 2-1 hasil jaringan Zuasyraf Zulkiefli dan Wan Mohamad Fazli Wan Ghazali masing-masing pada minit ke-62 dan 83.
Gol JDT ll pula diperoleh melalui pemain import kacukan Filipina-Sepanyol, Bienvenido Mariano pada minit ke-43.
Dengan kemenangan itu, TFC ll berjaya mengumpul 13 mata untuk berada di tangga keempat liga di belakang Kelantan United manakala JDT II kekal mendahului dengan 18 mata.
Sementara itu, Echeverria tetap memuji dan berpuas hati dengan persembahan anak buahnya walaupun gagal membawa pulang sebarang mata dari tempat lawan malam tadi.
Katanya, pasukannya perlu segera melupakan kekalahan tersebut dan fokus untuk berdepan pasukan Selangor 2 minggu depan.
“Pemain kami berjuang habis-habisan untuk perlawanan ini…tetapi Terengganu menang. Terengganu pasukan yang bagus, tahniah kepada mereka,” katanya.
Sumber: BERNAMA