Thailand Benar Rakyat Malaysia Bawa Pulang Kereta Tersadai Tanpa Caj

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Kerajaan Thailand membenarkan rakyat Malaysia membawa balik kenderaan yang mereka tinggalkan di negara berkenaan bermula 1 Jun depan tanpa dikenakan sebarang denda atau caj.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff selepas satu mesyuarat bersama pihak berkuasa Thailand yang diadakan semalam.

“Bermula pada 1 Jun sehingga 30 Jun, kerajaan Thailand bagi ruang supaya kenderaan tersadai di Thailand dibawa balik ke Malaysia, tanpa caj.

“Peluang ini diberikan selama satu bulan. Saya harap, rakyat Malaysia yang semasa PKP tidak dapat bawa pulang kenderaan, boleh ambil tindakan mengambil kenderaan balik tanpa mengenakan mana-mana caj,” katanya.

Menurut Siti Zailah, keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat membabitkan 13 agensi berkaitan sempadan, termasuk pihak berkuasa Thailand.

Tambahnya, kerajaan Thailand biasanya mengenakan caj parkir RM100 sehari ke atas kenderaan yang tersadai di negara itu.

Sebelum ini, sebahagian rakyat Malaysia terpaksa meninggalkan kenderaan mereka sewaktu penutupan sempadan negara kerana perintah kawalan pergerakan (PKP).

Siti Zailah yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat berkata, pengecualian caj parkir bagi kenderaan Malaysia yang tersadai sepanjang tempoh lebih dua tahun itu diberikan sekiranya pemilik membawa pulang kenderaan mereka dalam tempoh satu bulan tersebut.

Beliau bagaimanapun tidak dapat memaklumkan jumlah kenderaan Malaysia yang tersadai di negara berkenaan. Namun, isu kereta Malaysia yang tersadai di negara jiran pernah dibangkitkan sebelum ini.

Sumber: AWANI