KUALA LUMPUR – Pemain tengah, Mohamad Ashran Hamsani muncul penyelamat skuad hoki lelaki kebangsaan apabila menjaringkan gol penyamaan untuk melakar keputusan seri 2-2 berdepan Korea Selatan dalam aksi pertama saingan ‘Super 4’ Piala Asia 2022 di Jakarta, Indonesia sebentar tadi.
Pada aksi berlangsung di Stadium Hoki Gelora Bung Karno itu, Malaysia terlebih dahulu di depan selepas Muhammad Razie Abd Rahim membuka tirai jaringan menerusi pukulan sudut penalti pada minit keempat.
Bagaimanapun, Korea bangkit menyamakan kedudukan selepas Lee Namyong menyempurnakan pukulan sudut penalti yang diperoleh pada minit ke-12 sebelum Jeong Junwoo menjaringkan gol padang sembilan minit kemudian bagi meletakkan pasukan itu 2-1 di depan.
Skuad negara bimbingan Arul Selvaraj menarik nafas lega apabila Ashran berjaya meledak gol padang pada minit ke-40 bagi menyamakan kedudukan sekali gus keputusan 2-2 kekal sehingga tamat perlawanan.
Ketika aksi peringkat kumpulan, skuad negara menang ke atas Korea 5-4.
“Saya sangat berpuas hati dengan tenaga dan semangat yang dipamerkan pemain tetapi tidak dari segi keputusan kerana kita berhak untuk mencatatkan keputusan lebih baik.
“Saya gembira dengan cara pemain keluar terutama untuk posisi di atas padang dan kawalan bola,” kata Arulselvaraj.
Malaysia akan meneruskan aksi dalam saingan ‘Super 4’ yang diadakan secara liga sepusingan menentang India, esok sebelum bertemu Jepun pada Selasa.
Dua pasukan teratas akan membuat perhitungan di pentas final.
Sebagai rekod, sejak Piala Asia diperkenalkan pada 1982, Malaysia belum pernah muncul juara dengan pencapaian terbaik adalah naib juara pada 2017 yang juga edisi terakhir kejohanan itu apabila tewas 1-2 kepada India di Dhaka, Bangladesh.
Malaysia sebelum ini sudah mengesahkan tiket automatik ke Piala Dunia 2023 selepas India yang menjadi tuan rumah tahun depan turut berada dalam kelompok empat terbaik.
Sumber: BERITA HARIAN