Projek Bekalan Air dari Tanjung Agas ke Nenasi Kini Dilaksanakan Semula

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PEKAN – Kerja-kerja menyiapkan kembali Projek Bekalan Air Nenasi iaitu dari Tanjung Agas ke Nenasi serta kerja berkaitan di Daerah Pekan kini dilaksanakan kembali.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, projek Bekalan Air Nenasi telah diluluskan oleh Perdana Menteri Ke-6, YB Dato’ Sri Najib Tun Razak dimana kerja-kerja telah dilakukan ketika itu dan ianya siap hampir 80 peratus namun dihentikan setelah kerajaan bertukar pada PRU14, 2018 lalu.

Bagaimanapun, Kerajaan Pahang hari ini, pimpinan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail amat prihatin dan memahami keperluan air bersih adalah sesuatu yang amat penting kepada rakyat.

“Kerana itu, Kerajaan Pahang melalui Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) memperuntukkan RM184.4 juta sebagai penyelesaian jangka masa panjang sistem bekalan air di seluruh negeri ini termasuklah melaksanakan kembali projek bekalan air Nenasi yang terbengkalai di Pekan ini,” katanya di sini hari ini.

Dengan peruntukan tersebut, PAIP akan memberi fokus kepada penyelesaian sistem bekalan air khususnya di kawasan tumpuan yang mengalami masalah bekalan air dan menambah kapasiti rizab pengeluaran di beberapa loji rawatan air (LRA) di seluruh negeri ini.

“Saya difahamkan kerja-kerja ‘Site Clearing’ di tangki air Kampung Serun dan lain-lain yang terbengkalai pembinaan sejak 2018 kini giat dilakukan dimana kerja-kerja pembinaan semula tangki-tangki air ini akan dilaksanakan segera selepas ini.

“Projek bekalan air Nenasi menelan belanja hampir RM19 juta melibatkan kerja-kerja merekabentuk, membina, menyiap dan menauliah sistem bekalan air. Projek ini dijangka siap pada September 2023 dan akan memberi manfaat kepada kira-kira 2,500 akaun pengguna,” jelasnya.

Beliau berkata, dengan jumlah peruntukkan yang begitu besar jelas membuktikan YAB Menteri Besar amat prihatin dan mahu melihat semua rakyat di Pahang dapat menikmati bekalan air bersih dengan lebih sempurna.

Sumber: PAHANGMEDIA