‘Kami Akan Bermain Habis-Habisan Bertemu Jepun’

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, Arul Selvaraj akan memperkuatkan mentaliti atau ‘mindset’ pemain bagi menghadapi pertarungan hidup mati dalam aksi terakhir pusingan Super 4 saingan Piala Asia 2022 bertemu Jepun di Jakarta esok.

Katanya, barisan kejurulatihan mengenalpasti terdapat kelemahan dalam mindset pemain terutama pada suku ketiga perlawanan sebelum ini dan ia harus pantas diperbaiki sebelum pertemuan dengan Jepun di Stadium Hoki Gelora Bung Karno.

“Mindset pemain untuk keluar pada suku ketiga. Kenapa pada suku ketiga terlalu menurun?. Itu yang perlu saya kaji. Tiada masalah mengenai permainan hoki mereka tetapi terdapat masalah daripada sudut berkenaan.

“Mungkin itu yang perlu kami kaji, namun saya mengharapkan kepada semua untuk terus percaya, menyokong kami dan kami akan berjuang sehingga penamat,” kata Arul mengulas mengenai strateginya bagi menghadapi Jepun.

Semalam, skuad hoki negara terikat 3-3 dengan India dalam aksi kedua saingan Super 4 yang menyaksikan Muhammad Razie Abd Rahim meledak hatrik masing-masing pada minit ke-12, 21 dan 56.

Sebelum itu, anak buah Arul terikat 2-2 dengan Korea Selatan menerusi jaringan Razie dan juga Mohamad Ashran Hamsani pada aksi pertama.

Malaysia kini berada di tangga ketiga daripada empat pasukan dengan mengumpul dua mata dan kemenangan ke atas Jepun serta keputusan aksi Korea Selatan dan India bakal mencerahkan peluang untuk skuad neara beraksi di pentas final Piala Asia 2022.

“Pertamanya seperti saya katakan, kalau kita bermain dengan bagus, kita harus menang. Sama seperti perlawanan dengan Korea Selatan, kita bermain dengan baik tetapi tidak menang.

“Ia bukan sesuatu yang bagus tetapi kita harus belajar daripada itu. Apapun, yang menggembirakan saya adalah ratio jaringan oleh Razie, pakar sudut penalti pasukan. Sekiranya kita dapat (pukulan sudut penalti) di saat akhir, mungkin jaringan sudah berubah kepada 4-3.

“Keduanya, mentaliti kemenangan pemain. Kami masih berjuang sehingga penamat. Benar, kami perlu berusaha lebih sedikit dalam melakukan jaringan tetapi kita mempunyai semangat juang.

“Kami sedar dengan komen positif daripada penyokong yang percaya kami tidak akan mengalah sehingga penamat dan kami membuktikannya. Perlawanan belum tamat kerana masih mempunyai pertembungan dengan Jepun.

“Kami akan memenangi perlawanan berkenaan dan bermain habis-habisan untuk menang dan kami juga perlu mengharapkan keputusan antara India dan Korea Selatan,” kata Arul.

Sumber: BERITA HARIAN