KOTA BHARU – Kelantan FC hari ini telah mengesahkan bahawa tiada pemain pasukan bola sepak tersebut ditahan bagi membantu siasatan kes rogol seorang remaja berusia 18 tahun, di sini pada Ahad lepas.
Menurut Pengurus Operasi TRW Kelantan FC Qusmaini Noor Rosli, perkara tersebut telah disahkan selepas siasatan dalaman oleh pihak pengurusan tertinggi pasukan berkaitan isu tersebut.
“Kami (Kelantan FC) mengesahkan bahawa tiada pemain Kelantan FC yang terlibat mahupun berkait rapat dengan isu tidak bermoral,” katanya.
Bagaimanapun, menurut media melaporkan suspek seorang pemain bola sepak liga tempatan berusia 28 tahun itu telah ditahan di Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB) selepas mangsa yang berumur 18 tahun membuat laporan polis.
Qusmaini berkata, Kelantan FC mengambil tindakan serius akan tohmahan yang dilemparkan oleh sesetengah pengguna media sosial terhadap pasukan itu berkaitan kes tersebut.
“Kelantan FC juga telah mengenal pasti beberapa pemilik akaun yang melemparkan fitnah kepada pemain pasukan bola sepak,” jelasnya.
Sumber: BERNAMA