Pelajar Lelaki Lemas Ketika Mandi Sungai Bersama Rakan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Pelajar lelaki berusia 14 tahun ditemukan lemas di Sungai Terengganu dekat Kampung Teluk Pasu, kira-kira jam 7.15 malam ini.

Mangsa, Muhammad Izhar Amzar Anuar yang juga pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Manir, di sini, ditemukan sepasukan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu di dasar sungai berkenaan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Muhammad Basri Kamarazaman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan mangsa di sungai itu kira-kira jam 5.54 petang sebelum operasi mencari dan menyelamat dilancarkan.

Menurutnya, mangsa dari Kampung Kubang Jela, Manir dilaporkan bersama tujuh rakan berusia antara 13 hingga 14 tahun ke sungai berkenaan untuk mandi.

“Mangsa bersama beberapa rakan dikatakan bermain air sambil berpaut pada bekas mandi jenazah yang berada di lokasi kejadian.

“Dia (mangsa) yang tidak pandai berenang bagaimanapun terlepas pautan itu dan dilihat terpakai-kapai dalam sungai sebelum rakannya cuba memberi bantuan,” katanya.

Katanya, cubaan dua rakan yang juga pasangan kembar, Ahmad Shakir Al Amin Mohamad, 14, dan Ahmad Syafiq Al Iman Mohamad, 14, bagaimanapun gagal.

Mengulas lanjut, katanya, mayat mangsa ditemukan di dasar sungai itu pada kedalaman lima meter.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat.

Sumber: HARIAN METRO