KUANTAN – Peniaga ayam di daerah ini menarik nafas lega apabila bekalan ayam dihantar pembekal untuk dijual setiap hari mencukupi dan mengikut jumlah yang dipesan sejak beberapa hari lalu.
Peniaga juga mengakui mereka tidak berdepan masalah kekurangan pelanggan sebaliknya permintaan orang ramai tetap menggalakkan.
Tinjauan di Pasar Balok di sini pada Sabtu mendapati, operasi perniagaan di gerai menjual ayam berjalan lancar, malah ada gerai yang tutup lebih awal kerana bekalan ayam habis terjual.
Ali Akbar Othman berkata, bekalan ayam segar yang diterima sudah mengikut jumlah dipesan iaitu lebih 150 ekor setiap hari berbanding separuh daripada jumlah berkenaan sebelum ini.
“Walaupun harganya terpaksa dinaikkan, permintaan pelanggan tetap menggalakkan, malah pada hari Sabtu semua bekalan ayam habis terjual lebih awal,” katanya.
Shahrom Mohamad merupakan seorang peniaga berkata, menjangkakan permintaan bekalan ayam tersebut meningkat sempena cuti persekolahan ini.
Katanya, berdasarkan jumlah stok yang diterima ketika ini, tiada masalah untuk membekalkan ayam jika ada permintaan untuk majlis kenduri dan sebagainya.
“Kenaikan harga memang tidak boleh dielakkan kerana daripada pembekal juga sudah tinggi, namun pada saya ia masih berpatutan,” jelasnya.
Seorang lagi peniaga, Jamilah Embong berkata, ada pelanggan yang datang ke gerainya membeli ayam dalam jumlah lebih daripada biasa.
“Saya minta kerajaan ambil langkah sewajarnya bagi memastikan isu bekalan dan harga ayam dapat diselesaikan dan tidak berulang lagi,” katanya.
Sumber: AWANI